Siapa calon pengganti Mohammad Sinwar?

Siapa calon pengganti Mohammad Sinwar?


Baitulmaqdis: Kepimpinan Hamas di Semenanjung Gaza dalam ketidaktentuan selepas ketuanya, Mohammad Sinwar, baru-baru ini, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel.

Mohammad sebelum ini menggantikan abangnya, Yahya, sebagai ketua Hamas. Yahya juga meninggal dunia dalam serangan Israel di Gaza, tahun lalu.

Setakat ini, berita kematian Mohammad masih belum disahkan oleh Hamas.

Newsweek melaporkan, Hamas juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Selepas ketiadaan dua beradik Sinwar itu, kumpulan itu berdepan potensi kekosongan kuasa.

Menurut portal sama, ada beberapa nama yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai ketua Hamas.

Antara nama utama adalah Izz al-Din al-Haddad yang turut dikenali sebagai Abu Suhaib. Beliau dipercayai mengambil peranan kepimpinan utama dalam Gaza dengan mengetuai operasi ketenteraan Hamas di lapangan.

Satu lagi nama yang disebut-sebut sebagai calon pengganti adalah Khaled Mashal. Beliau pemangku pengerusi biro politik Hamas dan tokoh terkemuka dalam jawatankuasa kepimpinan sementara dengan lima anggota. Namun, beliau tidak berada di Gaza. Terkenal dengan usaha diplomatiknya, Khaled mengekalkan hubungan kukuh dengan Turkiye dan Qatar.

Seorang lagi calon adalah Khalil al-Hayya yang berpangkalan di Qatar. Beliau berkhidmat bersama Khaled dalam jawatankuasa itu dan terbabit dalam rundingan gencatan senjata.

Calon lain adalah Zaher Jabarin, yang berpangkalan di Turkiye. Beliau memainkan peranan penting dalam mengawasi rangkaian kewangan Hamas.

Seorang lagi adalah Muhammad Ismail Darwish yang pengerusi Majlis Syura Hamas. Beliau berada di Qatar dikatakan seorang lagi ahli yang berpengaruh, khususnya bertanggungjawab menguruskan hubungan luar pergerakan itu.

Untuk rekod, Mohammad adalah pemimpin terbaru Hamas yang maut dalam serangan Israel. Sebelum ini, abangnya, Yahya dibunuh oleh tentera Israel di Rafah pada 16 Oktober 2024.

Komander Hamas, Mohammed Deif pula terbunuh dalam serangan pada 13 Julai 2024. Pemimpin Hamas terdahulu, Ismail Haniyeh terbunuh dalam letupan di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top