PUTRAJAYA – Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil enggan mendedahkan nama calon Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei ini.
Sebaliknya Menteri Komunikasi itu menggesa semua pihak agar bersabar dan menunggu pengumuman yang akan dibuat pimpinan DAP dalam satu majlis di Pejabat Khidmat DUN KKB malam ini.
“Belum ada, selagi tidak diumumkan maka belum ada tapi kita tunggu Insya-Allah malam ini sekitar 9.30 hingga 10 malam akan diumumkan secara rasmi di Kuala Kubu Bharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK bagi kawasan DUN N.06 Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024.
Sebelum ini, kerusi DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kosong susulan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.
Dalam PRN15 pada Ogos tahun lepas, PN menang dua dari tiga kerusi dalam Parlimen Hulu Selangor, masing-masing DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.
Kuala Kubu Bharu merupakan satu-satunya kerusi dimenangi PH di bawah Parlimen Hulu Selangor setelah penyandangnya mendiang Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi itu selama penggal ketiga.
Sementara itu, ketika ditanya kebimbangan tentang keengganan MCA membantu calon Perpaduan berkempen, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu menghukum mana-mana pihak apatah lagi sesama parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Demokrasi ini rencam, ada pelbagai pandangan, kita bukan pemerintahan diktator, kita akui walaupun ada beza pandangan tapi demi kemaslahatan semua, kita akan usaha untuk bekerjasama dengan baik.
“Yang paling penting adalah calon Kerajaan Perpaduan menang dalam PRK Kuala Kubu Bharu nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette