hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Shah Alam: Hasil siasatan awal insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya akan dimaklumkan esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan merangkumi beberapa skop, kajian, dan dapatan.
Menurutnya, siasatan akan merujuk kepada dua aspek, iaitu teknikal yang dikendalikan beberapa jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), serta pihak Petronas dan badan teknikal lain.
Katanya, aspek kedua akan merujuk kepada kecuaian atau kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan.
“72 jam itu (tempoh hasil laporan awal diketahui) adalah maklum balas awal daripada siasatan dan itu berlaku esok.
“Datuk Hussein selaku ketua atau unitnya adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai siasatan dan akan mengemukakan beberapa skop, kajian, dan dapatan yang diberikan,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 108 laporan polis diterima berhubung insiden itu dan akan membuat penilaian termasuk video tular di media sosial serta akan memanggil pihak yang mengeluarkan video itu jika ada keperluan untuk pengesahan dan mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita mengambil maklum semua klip video, laporan, maklumat, dan kita akan memanggil semua pihak yang terbabit dan hal itu akan dimaklumkan mulai esok oleh Ketua Polis Negeri,” katanya.
Beliau berkata, taklimat mengenai kejadian itu diberikan secara harian oleh pihaknya dan PDRM.
“Taklimat membabitkan dasar keputusan keseluruhan dan satu lagi pada hari seterusnya membabitkan aspek-aspek siasatan sama ada yang melibatkan jenayah, kecuaian, ataupun aspek-aspek teknikal yang akan dibentangkan oleh jabatan terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd