Siasatan kematian doktor pakar di Lahad Datu keluar awal Januari depan

Siasatan kematian doktor pakar di Lahad Datu keluar awal Januari depan


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengumumkan hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah seawal Januari depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian menetapkan tempoh masa selama tiga bulan untuk menyiapkan siasatan tersebut.

Namun, jika laporan dapat disiapkan dalam masa terdekat dan lebih awal, kementerian bersedia mengumumkannya tanpa perlu menunggu sehingga Januari.

Menurut beliau, tempoh masa untuk laporan awal dijangka siap akhir Januari dan jika perlu, laporan lengkap akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum sidang akhbar diadakan mungkin pada akhir Februari.

“Namun, jika panel dapat menyelesaikan tugas mereka lebih awal, kita akan memaklumkan kepada media segera setelah Kabinet dimaklumkan.

“Walaupun tempoh tiga bulan telah ditetapkan, kita sentiasa terbuka untuk menyampaikan dapatan sebaik sahaja ia tersedia,” katanya selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor yang ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Perkara itu didedahkan oleh adik mangsa yang dikenali sebagai YS Tay mendakwa kakaknya, Dr. Tay Tien Yaa ditindas pegawai atasannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, panel tersebut tidak berada di bawah kementerian dan tidak melaporkan secara langsung tentang apa yang berlaku.

Bagaimanapun kata beliau, tiada tekanan daripada kementerian terhadap panel ini kerana jika ada campur tangan, ia tidak lagi bersifat bebas.

“Panel ini adalah bebas sepenuhnya seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan oleh kerajaan tetapi beroperasi secara autonomi tanpa pengaruh daripada pihak kerajaan setelah ia mula berfungsi.

“Apabila jawatankuasa bebas ini ditubuhkan, mereka hanya perlu melaporkan dapatan mereka kepada kementerian setelah siasatan selesai,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top