SIC diharap segera putuskan ‘wild card’ Hakim Danish — Zulfahmi

SIC diharap segera putuskan ‘wild card’ Hakim Danish — Zulfahmi


Dari kiri; Zulfahmi, Pengurus Besar RCB Marcus Leong, Hakim Danish dan Qabil Irfan selepas program di Putrajaya pada Khamis.

PENGURUS Pasukan SIC Racing – MSI, Zulfahmi Khairuddin berharap Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dapat segera memberikan kata putus mengenai penyertaan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli melalui tiket ‘wild card’ dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia hujung tahun ini.

Menurut Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan SIC minggu lalu dan kini hanya menunggu maklum balas rasmi berhubung perkara itu.

“Sebenarnya, pihak SIC memang menunjukkan minat ke arah merealisasikan program wild card ini. Namun, saya belum boleh mengesahkannya kerana masih belum menerima keputusan yang muktamad.

“Apa pun, saya tidak mahu mengecewakan peminat sukan permotoran tanah air. Saya juga mahu melihat pelumba Malaysia turun beraksi di pentas MotoGP Malaysia tahun ini,” katanya kepada pemberita semasa sesi media RCB bersama bakat muda permotoran Hakim Danish dan Qabil Irfan Azlan di Ekues Cabin Cafe, Putrajaya pada Khamis.

Sebagai rekod, Hakim Danish merupakan pelumba muda negara yang sedang beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim ini.

Hakim Danish pada ketika ini berada di tangga ketujuh dengan 51 mata beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP manakala mendahului kedudukan keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 154 mata.

Sementara itu, Zulfahmi juga percaya sekiranya program ‘wild card’ tersebut menjadi kenyataan, persediaan termasuk sesi ujian awal serta jentera kompetitif akan diatur supaya pelumba negara tidak turun berlumba tanpa persediaan sewajarnya.

Zulfahmi menjelaskan, sekurang-kurangnya pengumuman rasmi perlu dibuat 45 hari sebelum perlumbaan mengikut syarat pemegang hak MotoGP, Dorna Sports namun pihaknya berharap ia dapat dilakukan lebih awal untuk tujuan promosi.

“Kalau kita dapat ‘wild card’, sasaran realistik bukanlah podium atau menang tetapi memberi pengalaman pertama yang berharga buat pelumba negara.

“Saya mahu mereka turun dengan keyakinan selepas ujian dan persiapan rapi bukan sekadar hadir tanpa daya saing.

“Biarpun begitu keputusan akhir kini bergantung kepada pihak pengurusan SIC yang sedang menilai keutamaan lain, namun saya yakin pengorbanan semua pihak mampu menjadikan impian ini realiti di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober,” katanya.

INFO

MotoGP Malaysia 2025

30 Oktober – 1 November

 



Source link

OR

Scroll to Top