Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram (tengah) mempengerusikan sidang akhbar khas FAM di Kelana Jaya pada Jumaat.
SIDANG akhbar yang diadakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat dilihat bukan sahaja gagal merungkai persoalan yang timbul malah menambah kekusutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan sidang media tersebut sebagai tergesa-gesa dan tidak menunjukkan persediaan rapi daripada pihak FAM sekali gus mencerminkan kelemahan dalam aspek komunikasi krisis.
“Sepatutnya sidang akhbar itu menjawab segala persoalan dan meredakan kekusutan. Tapi apa yang berlaku, ia hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.
“Sidang akhbar itu nampak tergesa-gesa dan tidak disusun dengan baik,” katanya ketika mengulas mengenai sidang akhbar oleh FAM di Kelana Jaya pada Jumaat mengenai hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas tujuh pemain warisan dan badan induk bola sepak negara itu.
Pekan turut mempersoalkan tujuan sebenar sidang akhbar itu diadakan dalam keadaan tergesa-gesa, terutama ketika pemangku presiden FAM tidak berada di tempat kejadian.
“Kalau nak umum penggantungan setiausaha agung, boleh sahaja tunggu sehari dua lagi sehingga pemangku presiden balik. Tak perlu tergesa-gesa seolah-olah benda itu perlu diumumkan serta-merta,” ujarnya.
Beliau berpendapat keadaan tersebut jelas menunjukkan kelemahan dalam komunikasi dan perancangan selain turut menegur sikap pihak pengurusan FAM dan pihak Pasukan Kebangsaan (Malaysia NT) yang dilihat gagal menunjukkan profesionalisme dan etika dalam menangani isu berprofil tinggi seperti ini.
“Nampak seperti tiada perbincangan terlebih dahulu antara pihak terlibat. Bila sidang media berlangsung, satu pihak tak tahu apa yang pihak lain nak sampaikan. Itu sangat memalukan,” katanya.
“Tunjukkan profesionalisme yang sebenar. Profesional bukan sekadar tahu urus pasukan, tetapi juga datang bersama etika dari segi tingkah laku, disiplin dan cara komunikasi.
“Kalau beginilah caranya kita mengendalikan krisis, memang memalukan. Ia menunjukkan kegagalan dari segi etika dan kepimpinan,” katanya.
Ringkasan AI
- Sidang akhbar FAM gagal merungkai persoalan dan menambah kekusutan di kalangan peminat bola sepak
- Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan sidang itu sebagai tergesa-gesa dan tidak menunjukkan persediaan rapi dari FAM
- Tujuan sidang akhbar diadakan tergesa-gesa dipersoalkan, khususnya ketika pemangku presiden FAM tiada di tempat
- Sikap pengurusan FAM dan Pasukan Kebangsaan dikritik kerana gagal menunjukkan profesionalisme dan etika
- Ketiadaan perbincangan pra-sidang menunjukkan kelemahan dalam komunikasi dan kepimpinan FAM