Kuala Lumpur: Selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia perlu memastikan setiap perbincangan yang berlangsung memberikan impak nyata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia juga perlu memperkukuh kesepaduan serantau dan membawa manfaat kepada seluruh negara anggota serta rakan dialog yang terlibat dalam Sidang Kemuncak ASEAN, dijadualkan pada 26 hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Saya juga telah mengarahkan seluruh jentera kerajaan dan agensi berkaitan untuk melaksanakan persiapan terbaik dengan ketelitian dan komitmen tertinggi.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam memastikan segala urusan persiapan ini berjalan lancar,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Perdana Menteri juga berkongsi beberapa keping gambar ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, petang tadi.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata lawatan berkenaan bertujuan memastikan setiap aspek penganjuran berada pada tahap terbaik merangkumi persiapan lokasi, logistik, kawalan keselamatan, perjalanan program dan penyelarasan keseluruhan penganjuran.
“Melihat kepada komitmen dan kesungguhan seluruh barisan urus setia, saya boleh katakan bahawa Malaysia kini bersedia untuk menyambut kehadiran lebih 30,000 delegasi bermula 25 Oktober ini,” katanya menerusi Facebook.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Acara berkenaan akan menghimpunkan pemimpin negara anggota ASEAN bersama rakan dialog dan tetamu jemputan, dengan Anwar menyatakan bahawa ia dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd