am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual bersidang pada 10 April hingga 17 April depan.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima 2025 DUN Sabah ke-16 itu dijangka menjadi persidangan terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Tempoh DUN Sabah ke-16 Sabah dijadual berakhir pada Oktober depan jika ia tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh tamat tempohnya.
Penetapan tarikh persidangan berkenaan dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi keluaran khas Warta Kerajaan Sabah bertarikh 12 Mac lalu.
Menerusi warta berkenaan, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman membuat proklamasi memanggil persidangan DUN Sabah mengikut Fasal (1) Artikel 21 Perlembagaan Negeri Sabah.
Fasal berkenaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dari semasa ke semasa memanggil DUN Sabah untuk bersidang.
Ia adalah persidangan DUN Sabah pertama bakal dirasmikan Musa selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada 1 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd