Sijil halal lebih daripada sekadar pencapaian perniagaan

Sijil halal lebih daripada sekadar pencapaian perniagaan


BERMULA dengan jualan teh RM1, seorang pelajar Universiti Multimedia (MMU) melakar sejarah selepas memperkenalkan satu inovasi tempatan iaitu teh masala steril dalam tin halal pertama di dunia.

Pengasas Leafhaus, A. Gisnervern, 31, tidak menyangka inisiatif kecilnya untuk menampung kos pengajian akhirnya mengubah cara rakyat Malaysia menikmati minuman berperisa rempah kegemaran mereka.

Gisnervern memulakan perniagaan tersebut, tidak lama selepas pandemik COVID-19 dengan menjual secawan teh masala pada harga RM1 kepada para pelajar MMU.

Beliau kemudiannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang mengambil masa selama dua tahun sejak 2023 yang membawa kepada pelancaran teh masala steril dalam tin halal pada Ogos 2025.

“Saya mula dengan menjual teh panas pada harga satu ringgit kepada pelajar di universiti saya, sebelum menyedari orang ramai lebih menggemari minuman sejuk di bawah terik matahari. Jadi, saya tambah ketulan ais dan dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan teh masala dalam tin,” katanya.

Gisnervern yang merupakan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di MMU Cyberjaya, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewangan di universiti yang sama.

A. GISNERVERN

Beliau memulakan perniagaan itu sambil menyeimbangkan antara kuliah dan cabaran kewangan, hasilnya digunakan untuk menampung pengajiannya.

Bagi Gisnervern, sijil halal lebih daripada sekadar pencapaian perniagaan.

“Halal membolehkan saya berkongsi minuman ini dengan semua orang, tanpa mengira bangsa atau agama. Prosesnya sukar, tetapi ia memberi saya keyakinan bahawa produk kami memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Populariti jenama itu berkembang pantas dengan lebih 3,000 tin terjual dalam masa dua minggu melalui TikTok Shop dan kampus MMU, semuanya tanpa pemasaran menggunakan pempengaruh.

Seorang pembeli dari United Kingdom yang mencuba minuman itu, membuka babak baharu untuk Leafhaus selepas dia memesan empat karton dan menjualnya di sebuah kedai serbaneka di Britain.

Dua kontena sedang disiapkan untuk dieksport ke Eropah dengan perancangan perluasan pasaran ke Timur Tengah dan Kanada tahun depan.

Dengan sasaran menjual 10,000 karton menjelang hujung tahun ini, perjalanan Gisnervern dari kampus ke kejayaan komersial membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya bermula di makmal, kadangkala bermula dengan secawan teh sahaja. – Bernama

Ringkasan AI

  • BERMULA dengan jualan teh RM1, seorang pelajar Universiti Multimedia melakar sejarah dengan mencipta teh masala steril dalam tin halal pertama di dunia Pengasas Leafhaus, A. Gisnervern, memulakan usahanya selepas pandemik COVID-19 dengan menjual teh masala pada harga RM1 kepada pelajar MMU Usaha ini membawa kepada pelancaran teh masala dalam tin pada Ogos 2025 setelah dua tahun penyelidikan dan pembangunan Populariti jenama berkembang dengan cepat, mencatatkan jualan lebih 3,000 tin dalam dua minggu melalui TikTok Shop dan kampus MMU tanpa pemasaran influencer Ekspansi ke pasaran internasional termasuk Eropah, Timur Tengah, dan Kanada dengan sasaran jualan 10,000 karton menjelang hujung tahun ini



Source link

OR

Scroll to Top