SIJIL kelahiran yang didakwa milik datuk kepada pemain warisan Harimau Malaya, Facundo Garces tular di laman sosial hari ini.
Menerusi dokumen yang tersebar, datuk Garces dikenali sebagai Carlos Rogelio Fernández dilaporkan lahir di Santa Fe, Argentina pada 29 Mei 1930 bukannya di Pulau Pinang.
Portal berita Argentina, Capital de Noticias turut menyiarkan salinan sijil kelahiran itu dan mendakwa memperoleh dokumen berkenaan secara eksklusif.
Menurut laporan portal tersebut, dokumen yang diperoleh oleh FIFA menunjukkan bahawa Fernández dilahirkan di Argentina, bukan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Portal tersebut menjelaskan, rekod rasmi daripada Pejabat Pendaftaran Awam Wilayah Santa Fe turut mengesahkan lokasi kelahiran sebenar Fernández di kawasan Villa María Selva, Santa Fe, Argentina meskipun tarikh lahir yang tercatat adalah sama.
Laporan itu turut menyebut kenyataan rasmi dalam dokumen berkenaan.
“Puan Sebastiana Justa Fernández, bujang, warganegara Argentina, penduduk Villa María Selva, mengisytiharkan bahawa di rumahnya di Jalan 22, seorang bayi lelaki berkulit cerah telah dilahirkan dan diakui sebagai anak kandungnya,” tulis portal tersebut berdasarkan dokumen rasmi itu.
Bagaimanapun, kesahihan sijil kelahiran tersebut masih belum dapat dipastikan sepenuhnya setakat ini.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Garces, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel telah didenda oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Akibatnya, FAM didenda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Pada 15 Oktober lepas, FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA berhubung isu berkenaan. Persatuan itu juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara ini ke CAS sekiranya rayuan di peringkat FIFA gagal memberi keputusan positif.
Ringkasan AI
- SIJIL kelahiran yang didakwa milik datuk kepada pemain warisan Harimau Malaya, Facundo Garces tular di laman sosial
- Datuk Garces dikenali sebagai Carlos Rogelio Fernández dilahirkan di Santa Fe, Argentina bukan di Pulau Pinang
- Dokumen dari FIFA menunjukkan Fernández dilahirkan di Argentina, mengesahkan maklumat dari Pejabat Pendaftaran Awam Wilayah Santa Fe
- Kesahihan sijil kelahiran tersebut masih belum dapat dipastikan sepenuhnya
- FAM dan tujuh pemain warisan didenda oleh FIFA akibat pemalsuan dokumen, termasuk Garces





