am@hmetro.com.my
Seremban: Kebanyakan pemandu lori akan menuding jari kepada majikan ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (PJP) dalam operasi atas kesalahan membawa muatan berlebihan.
Itu alasan popular yang diberikan yang mana pemandu dan majikan saling menyalahkan bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan susulan JPJ mengisytiharkan ‘perang’ terhadap lori lebih muatan.
Dalam operasi yang dijalankan JPJ Negeri Sembilan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, baru-baru ini, seorang pemandu lori lelaki berusia 55 tahun yang membawa kayu potong ditahan.
“Saya sudah boleh agak akan ditahan sekiranya ada operasi, tetapi tiada pilihan kerana sudah diarahkan majikan. Saya dalam perjalanan dari Senawang ke Banting, Selangor.
“Saya tahu lori saya bawa lebih muatan, tetapi saya tidak boleh buat apa-apa kerana majikan yang arahkan,” kata pemandu yang sudah bekerja selama 21 tahun itu.
Dalam pada itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusof menegaskan, alasan arahan daripada majikan tidak boleh dijadikan justifikasi untuk melanggar undang-undang.
“Kedua-dua pihak, pemandu dan majikan mempunyai tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan jalan raya dan pematuhan peraturan.
“JPJ memandang serius alasan bahawa pemandu hanya mengikut arahan majikan. Walaupun majikan mungkin memberi tekanan untuk membawa muatan berlebihan bagi tujuan keuntungan, tanggungjawab utama di jalan raya tetap terletak pada pemandu,” katanya.
Jelas beliau, sebagai pemegang Lesen Memandu Vokasional (GDL), setiap pemandu mempunyai tanggungjawab profesional dan undang-undang untuk memastikan kenderaan yang dikendalikan berada dalam keadaan selamat serta mematuhi had muatan yang ditetapkan.
“Mengikut Seksyen 87(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan boleh didakwa dan dikenakan hukuman setimpal, termasuk denda dan tindakan terhadap permit operasi syarikat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 3,275 kenderaan perdagangan yang dikenakan tindakan kerana kesalahan membawa lebih muatan.
Tambahnya, tahun ini juga sebanyak 31 kenderaan dalam proses untuk diambil tindakan dilucut hak kerana membawa lebih muatan berbanding tahun lalu sebanyak dua kes sahaja.
“Data ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan kita memandang serius perkara ini. Tindakan lucut hak sepatutnya memberi alasan kepada pemilik supaya mengikut peraturan.
“Ini kerana kos untuk memiliki lori agak tinggi. Jika mereka mahu mendapatkannya kembali, pemilik perlu membuat rayuan di mahkamah, kerana proses lucut hak di bawah bidang kuasa mahkamah,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






