mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesilapan dalam pengambilan pemain import dikenal pasti antara punca beberapa kelab Liga Malaysia terjerumus dalam isu tunggakan gaji hingga dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pengarah Urusan Action Football Asia M Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, masalah itu lazimnya bermula apabila pemain import yang diikat pada awal musim gagal menampilkan prestasi seperti diharapkan.
Menurut ejen pemain berpengalaman lebih 20 tahun itu, keadaan menjadi lebih rumit apabila kelab bertindak menggugurkan pemain terbabit pada jendela perpindahan kedua untuk membawa masuk tonggak baharu.
“Kalau kita tengok ada pasukan ikat pemain import di awal musim, tetapi pada jendela perpindahan kedua sudah lepaskan pemain terbabit untuk ambil pemain baharu. Sudah pasti pemain itu dilepaskan kerana prestasi tidak bagus.
“Jadi mana silapnya? Mungkin disebabkan pasukan tidak membuat penilaian lebih rapi sebelum ambil pemain terbabit. Tukar import bukan percuma, kena bayar pampasan dan ada yang pasukan tidak mampu bayar, ia menyebabkan pasukan berdepan hukuman dari FIFA.
“Kelab perlu ada pakar yang boleh pantau dan buat analisis rapi terhadap pemain yang mahu ditandatangani. Ia penting bagi memastikan pemain yang diambil itu berbaloi dan memberi impak besar selain pasukan tidak menanggung kerugian,” katanya.
Terdahulu, terdapat laporan mengenai sekatan pendaftaran pemain dikenakan FIFA ke atas lapan pasukan Liga M disifatkan sebagai ‘bendera merah’ yang mencalar kredibiliti bola sepak negara.
Isu kegagalan pengurusan menyelesaikan tunggakan gaji pula dilihat semakin membimbangkan dan memberi imej negatif kepada liga yang sebelum ini dianggap antara paling kompetitif di rantau ini.
Effendi menjelaskan, masalah tunggakan gaji serta sekatan perpindahan bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut melanda liga lain di Asia Tenggara.
Katanya, kelab di Thailand dan Indonesia juga pernah dikenakan sekatan perpindahan oleh badan induk dunia itu.
“Kita boleh semak di laman FIFA, ada pasukan dari Thailand dan Indonesia juga kena sekatan perpindahan. Kesan hukuman itu terhadap pasukan terbabit ialah mereka tidak boleh bawa masuk pemain baharu.
“Keinginan pemain import untuk bermain di Liga M tidak terjejas. Kalau dapat kontrak, mereka datang sahaja dan jika tak dapat gaji, mereka pergi ke FIFA untuk buat tuntutan,” katanya lagi.
Jelasnya, pembaharuan dari sudut tadbir urus dan perancangan kewangan lebih sistematik amat penting bagi memastikan isu sama tidak terus berulang dan menjerut masa depan kelab dalam Liga M.
© New Straits Times Press (M) Bhd






