'Sileme' tukar nama selepas tular seluruh dunia

'Sileme' tukar nama selepas tular seluruh dunia

'Sileme' tukar nama selepas tular seluruh dunia


Beijing: Aplikasi mudah alih China ‘Are You Dead?’ akan menukar nama selepas menarik perhatian media antarabangsa.

Aplikasi itu membunyikan amaran jika pengguna tidak mendaftar masuk setiap 48 jam.

Ia naik ke tangga teratas carta aplikasi berbayar di App Store Apple di China, sekali gus menarik liputan meluas media tempatan dan luar negara.

Nama asal aplikasi versi China ialah ‘Sileme’ yang bermaksud ‘Are you dead?’ (Adakah kamu sudah mati?) dalam Bahasa Mandarin.

Aplikasi itu membolehkan individu yang tinggal bersendirian mendaftarkan nama dan e-mel seseorang untuk dihubungi jika berlaku kecemasan.

Difahamkan, jika pengguna tidak mendaftar masuk, sistem menghantar amaran automatik kepada kontak kecemasan.

Syarikat yang mencipta aplikasi berkenaan dalam satu kenyataan mengumumkan aplikasi itu akan menggunakan jenama global ‘Demumu’ dalam versi baharu yang akan datang.

Katanya, aplikasi itu mengalami pertumbuhan mendadak di luar negara selepas liputan media termasuk BBC dan AFP.

Versi antarabangsa aplikasi sudah dinamakan ‘Demumu’, manakala versi China sebelum ini ialah ‘Are You Dead?’.

Syarikat berkata, Demumu akan terus menumpukan misi menjaga keselamatan dan memberi perkhidmatan kepada individu bersendirian secara global.

“Pada masa hadapan, Demumu akan terus teguh dengan misi penubuhannya iaitu menjaga keselamatan, membawa penyelesaian perlindungan asal China ke seluruh dunia dan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai individu yang bersendirian secara global,” tambah kenyataan syarikat itu.

Pengguna meluahkan rasa terkejut terhadap penjenamaan baharu itu di media sosial.

Difahamkan, nama ‘sileme’ adalah permainan kata daripada aplikasi penghantaran makanan popular ‘Eleme’.

Menurut data rasmi, pada 2024, individu yang tinggal bersendirian membabitkan sekitar satu perlima daripada semua isi rumah di China, meningkat daripada 15 peratus berbanding sedekad lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top