KAPTEN Fluminense, Thiago Silva, sebak setelah wakil Brazil berkenaan mengesahkan kemaraan suku akhir Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Inter Milan.
Bekas kapten Chelsea berusia 40 tahun itu beraksi 90 minit membantu Fluminense menewaskan finalis Liga Juara-Juara berkenaan 2-0 di Stadium Bank of America, Charlotte, North Carolina.
Fluminense, yang layak ke kejohanan musim panas ini setelah menjuarai Copa Libertadores 2023, membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan German Cano.
Biarpun Inter Milan mendominasi penguasaan bola dan melancarkan 16 percubaan ke arah gol, hanya empat daripadanya menguji penjaga gol Fabio.
Kemenangan bersejarah Fluminense disahkan pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Hercules, menyempurnakan peluang yang mengakhiri cabaran kelab dari Itali itu.
Gol tersebut mencetuskan sorakan gemuruh dalam kalangan penonton di stadium, dengan ramai penyokong dilihat menitiskan air mata kegembiraan.
Silva sendiri turut kelihatan sebak sebelum dirakam mencium isterinya, Isabele, di tempat duduk penonton.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya, dengan rakan-rakan sepasukan. Sejujurnya ini perlawanan yang sukar dimainkan tambahan menentang pasukan seperti Inter, anda tahu?
“Mereka beraksi di final Liga Juara-Juara sebelum ini. Cuaca hari ini juga terlalu panas untuk bermain bola sepak. Masa perlawanan tidak sesuai, tetapi begitulah keadaannya,” kataya.
Fluminense, yang mara dari Kumpulan F dengan lima mata selepas seri dengan Borussia Dortmund dan Mamelodi Sundowns serta menewaskan Ulsan HD, kini akan bertemu sama Al-Hilal di suku akhir.
Sebagai rekod, Fluminense merupakan salah satu daripada empat wakil Brazil di Piala Dunia Kelab yang melibatkan 32 pasukan bersama-sama Botafogo, Flamengo, dan Palmeiras.
Kesemua empat pasukan berjaya melepasi peringkat kumpulan, sebelum Palmeiras menyingkirkan Botafogo dalam Pusingan 16.
Flamengo pula tewas 2-4 kepada Bayern Munich pada Isnin, manakala Palmeiras akan berdepan Chelsea pada suku akhir.
Silva kembali menyertai Fluminense pada Mei tahun lalu, selepas mengharungi karier yang penuh gelaran di Eropah bersama AC Milan, Paris Saint-Germain (PSG), dan Chelsea.
Bekas pemain pertahanan tengah legenda Brazil itu pernah menghabiskan masa di akademi remaja Fluminense pada tahun 1990-an sebelum beraksi tiga musim bersama skuad utama kelab Rio de Janeiro itu antara 2006 dan 2008.