Madrid: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan sehingga penghujung musim selepas menang 3-0 ke atas seteru setempat, Rayo Vallecano awal pagi tadi.
Kemenangan di laman sendiri itu hadir hasil jaringan Alexander Sorloth, Conor Gallagher dan Julian Alvarez – sekali gus membolehkan Atletico terus kukuh di tangga ketiga La Liga, sambil bangkit daripada kekalahan mengejut 0-1 kepada Las Palmas pada hujung minggu lalu.
“Saya tak marah, kami mula menjaringkan gol sekarang. Ini semua sebahagian daripada proses. Dalam bola sepak, pelbagai situasi boleh berlaku dan kami perlu sentiasa bersedia,” kata Simeone kepada wartawan selepas perlawanan.
“Dalam saingan liga, kami bersaing dengan baik. Harapan saya agar kami dapat terus kekalkan prestasi ini dari satu perlawanan ke satu perlawanan sehingga ke penghujung musim.”
Ketika ini, Atletico berada 10 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, dan enam mata di belakang Real Madrid yang menghuni tangga kedua.
Simeone mengakui kejuaraan mungkin sudah sukar dicapai, namun menekankan keutamaan kepada aspek pertahanan menjelang baki aksi musim ini.
“Ketika menentang Las Palmas, kami bermain dengan sangat teruk dan separuh masa pertama hari ini hampir sama. Tapi kami bangkit dan saya gembira dengan kerja keras bahagian pertahanan – itulah kekuatan pertama kami dalam membina permainan.”
Simeone turut memuji impak yang diberikan oleh Antoine Griezmann yang masuk sebagai pemain gantian dan mencipta bantuan gol buat Alvarez.
“Antoine masuk pada minit ke-60 dan berjaya cari ruang untuk pecahkan benteng lawan dengan hantaran yang sangat penting,” katanya.
“Gol Julian pula mencerminkan kualiti dirinya sebagai pemain. Kami sedang mengenali peribadinya – dia datang ke sini untuk menang, dan kami mahu bantu dia capai matlamat itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd