SUDAH menjadi kebiasaan dalam sesebuah rumah apabila makanan atau minuman yang disimpan bersama tidak dapat dipastikan siapa pemiliknya.
Situasi itu lebih ketara apabila dua beradik membeli barang sama, misalnya air kotak berjenama dan berperisa serupa yang kemudiannya diletakkan di dalam peti sejuk.
Walaupun disusun berasingan, namun tatkala hendak diminum, kedudukannya berubah hingga menyukarkan pengecaman milik siapa.
Dalam keadaan itu, adakah dibenarkan mengambil mana-mana sahaja untuk diminum?
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menerusi infografik terbaharu dikongsikan, hukumnya harus mengambil mana-mana air itu sekiranya diketahui watak adik-beradik tersebut bersikap terbuka dan sentiasa bertolak ansur.
INFOGRAFIK berkaitan makanan yang berkongsi peti sejuk sama yang dimuat naik di Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
“Namun, jika watak adik-beradik itu adalah sebaliknya, maka hendaklah bertanya dan memohon kebenaran terlebih dahulu sebelum mengambil dan meminumnya,” katanya sebagaimana dipetik daripada hantaran infografik yang dimuat naik di laman sosial Facebook jabatan mufti itu pada Selasa.
Mengulas lanjut, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan, mengambil barangan milik orang lain tanpa izin termasuk perbuatan yang dilarang syarak kerana ia mencerobohi hak orang lain.
Sedangkan, menjaga harta merupakan salah satu tujuan utama syariah yang perlu dipelihara.
“Pada asasnya hukum mengambil harta orang lain secara batil seperti mencuri dan merampasnya adalah haram,” katanya sambil memetik firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-188:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) dalam kalangan kamu dengan jalan yang salah.”

HARUS hukumnya mengambil mana-mana air itu sekiranya diketahui watak adik-beradik tersebut bersikap terbuka dan sentiasa bertolak ansur. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Bagaimanapun, terdapat keadaan yang membolehkan pengambilan hak orang lain bergantung pada adat atau kebiasaan yang diterima oleh masyarakat setempat.
Jabatan mufti itu memberikan contoh, harus memakan makanan yang belum dibayar di premis yang tidak mensyaratkan pembayaran terlebih dahulu, tetapi tidak harus berbuat demikian pada kedai yang mengkehendaki bayaran sebelum makan.
“Situasi sama juga apabila makanan dihidangkan di dalam majlis perkahwinan yang mana ia boleh dimakan tanpa pembaziran, namun tidak harus pula hendak ‘ditapau’ dan dibawa pulang ke rumah.
“Begitu juga makanan atau minuman yang disimpan di dalam peti sejuk di dapur rumah boleh diambil oleh sesiapa sahaja yang berada di rumah itu.
“Sebaliknya, seseorang tidak harus mengambil makanan yang disimpan di dalam peti sejuk milik peribadi melainkan setelah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pemiliknya,” kata jabatan mufti berkenaan.
Jika melibatkan makanan yang terhidang di rumah pula, kata Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ia boleh dimakan oleh mana-mana ahli keluarga tanpa perlu meminta izin sebagaimana dinyatakan dalam ayat ke-61 surah an-Nur.

SESEORANG tidak harus mengambil makanan yang disimpan di dalam peti sejuk milik peribadi melainkan setelah mendapat keizinan terlebih dahulu daripada pemiliknya. -Foto: CANVA
Menurut jabatan mufti itu, Imam Qurtubi dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat itu menyebut bahawa sebahagian ulama berpandangan, harus mengambil makanan di rumah berkenaan sekiranya telah diberikan keizinan.
“Pendapat lain pula menyatakan, diharuskan memakan makanan tersebut sama ada sudah diizinkan ataupun tidak. Ini kerana pertalian keluarga di antara mereka sudah memadai sebagai keizinan berbuat demikian.
“Sementara itu, Ibnu Al-Abari berkata, harus memakan makanan adik-beradik tanpa izin sekiranya makanan itu boleh diambil, namun jika makanan itu berada di tempat yang berkunci, maka tidak harus memakannya,” katanya.