georgie@hmetro.com.my
SIRI 2
Sepanjang tiga dekad karier seninya, antara hal paling disyukuri penyanyi dan penyampai radio, Haiza adalah dipertemukan dengan Allahyarham Jaafar Onn.
Menurut Haiza atau pemilik nama sebenar Rohaizah Nordin, arwah Jaafar adalah mentor yang paling agung pernah hadir dalam hidupnya.
Jaafar menabur jasa yang cukup besar dalam diri penyanyi Dag Dig Dug ini. Terutama aspek keyakinan dirinya bercakap depan khalayak yang dipelajari daripada pengacara legenda itu.
Menurutnya, Jaafar jugalah yang setia melentur dia menjadi artis serba boleh. Segalanya bermula apabila dia mengikut Jaafar melakukan program masak-masak di pelbagai lokasi.
“Kalau ikutkan, saya tak tahu sangat nak bercakap depan orang ramai ketika itu. Jadi, saya ikut Jaafar untuk programnya dan daripada situ saya serap segala ilmunya sebagai pengacara.
“Apa yang saya lakukan adalah meniru saja apa dia cakap. Apabila dia buat kerja memasak, dia akan suruh saya pula ganti bercakap dan berceloteh depan penonton,” katanya.
Justeru, Haiza memang rasa sangat kehilangan Jaafar yang meninggal dunia pada 2024. Namun, dia sentiasa semat rapi segala jasanya dalam hati sampai bila-bila kerana tiada tandingan.
“Bayangkan ketika zaman kegawatan pada sekitar 1997 dan 1998, dia sendiri menawarkan saya tinggal di rumahnya kerana berdepan kesulitan daripada segi ekonomi ketika itu,” katanya.
Disebabkan Jaafar jugalah Haiza benar-benar ambil berat betapa pentingnya menyantuni artis veteran. Dia banyak bergaul dengan mereka berkat perkenalannya dengan Jaafar.
Daripada situ, dia juga dapati Jaafar adalah insan yang sangat murah hati dan sentiasa membantu sesiapa pun. Terutama rakan artis yang memang dia akrab dan senangi.
“Dia adalah insan yang paling suka berkongsi rezeki. Kalau ada ‘job’, dia akan panggil kami dan bahagi-bahagikan hasil bayaran yang dia dapat tanpa berkira pun. Dia tak ambil bahagian besar,” katanya.
Menurut Haiza, dia juga bersyukur kerana jadi lebih sensitif dengan artis veteran dan sentiasa ingat pesan Jaafar agar menyebut nama artis veteran yang hadir setiap kali mengacara di pentas.
“Jangan percaya kalau artis veteran kata mereka sudah bersara. Dalam hati kecil, mereka tetap akan masih kental darah seninya dan tak mungkin perasaan itu hilang begitu saja.
“Saya memang akan pastikan untuk menyebut nama artis veteran kalau nampak di bahagian penonton. Percayalah, mereka pasti akan tersentuh jika kehadiran mereka diberi kredit,” katanya.
ESOK: Tak sangka jadi penyampai radio
© New Straits Times Press (M) Bhd