ZAMAN sekarang, duit banyak dalam bank pun boleh lesap dek penipuan licik ‘scammer’ yang tidak pernah berhenti memburu mangsa baharu.
Sebab itulah kita perlu sentiasa berwaspada dan cakna dengan pelbagai taktik yang sering digunakan untuk memperdaya orang ramai.
Wang lesap satu perkara, tetapi yang merunsingkan adalah apabila tiba masa untuk membayar zakat, bagaimanakah pula caranya?
Niat dalam hati memang ingin melangsaikan zakat simpanan, namun dana dalam akaun pula ghaib akibat diperdaya individu tidak bertanggungjawab.
Dalam situasi seperti itu, adakah kita tetap diwajibkan membayar zakat?
Menjawab persoalan itu, Penolong Pengurus Unit Dakwah dan Unit Wakaf Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ustaz Dziyaulhak Hashim menjelaskan, sekiranya perkara itu terjadi, kita tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kerana tidak lagi memiliki kawalan penuh terhadap wang simpanan berkenaan.
USTAZ DZIYAULHAK
“Kalau ‘scammer’ itu ambil duit kita misalnya RM100,000, maka jumlah itu tidak termasuk dalam kewajipan zakat kerana syarat wajib zakat adalah perlu ada milikan sempurna.
“Bila duit sudah ditipu, maka hilanglah hak pemikian kita ke atasnya. Bila tiada wang, (ia) tidak perlulah dizakatkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman web Pusat Pungutan Zakat baru-baru ini.
Bagaimanapun, situasi sebaliknya pula sekiranya wang yang diambil tadi dipulangkan semula oleh si penipu.
“Tiba-tiba dia (‘scammer’) bagi balik RM100,000 kepada kita (sama ada) dia berubah hati atau (sudah) bertaubat.
“Maka saat itu kita (perlu) zakatkan 2.5 peratus daripada keseluruhan perolehan amaun berkenaan iaitu RM2,500,” terangnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, beliau berpesan agar umat Islam agar menunaikan Rukun Islam ketiga dengan penuh tanggungjawab.

JIKA ‘scammer’ itu mengambil duit orang misalnya RM100,000, maka jumlah itu tidak termasuk dalam kewajipan zakat kerana syarat wajib zakat adalah perlu ada milikan sempurna. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Jagalah diri kita dan cintakan ALLAH. Bila kita menjaga hubungan dengan-NYA dan menjaga-NYA, DIA akan menjaga harta kita.
“Justeru, pastikan kita bijak menutup ruang-ruang penipuan (yang boleh mengancam) akaun-akaun (simpanan) kita,” titipnya.