mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan dua sindiket dadah membabitkan sindiket 18 dan 04 serta membongkar sebuah makmal haram memproses dadah menerusi Op Kenari 1.0 di Kedah dan Pulau Pinang membabitkan nilai rampasan dadah RM6 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menahan 56 orang dan merampas tiga kereta, lapan motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan nilai sitaan harta RM208,000.
Menurutnya, berdasarkan senario semasa berkaitan peningkatan isu penagihan dan pengedaran dadah di Kedah terutamanya di daerah Pendang, JSJN mengambil tindakan serius dengan melaksanakan Op Kenari 1.0 dalam usaha melumpuh dan menghapuskan sepenuhnya rantaian bekalan dadah sehingga ke akar umbi.
“JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Kedah menjalankan operasi ini bermula pada 9 April hingga hari ini di Kedah dan Pulau Pinang.
“Hasil tindakan operatif dan gerak gempur yang dijalankan, pasukan operasi berjaya melumpuhkan dua sindiket dadah iaitu sindiket 18 dan 04 serta membongkar sebuah makmal haram memproses dadah,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro hari ini.
Razarudin berkata, bagi sindiket 18, seramai enam lelaki dan seorang wanita warga China berusia 30 hingga 50 tahun ditahan membabitkan rampasan dadah syabu 197.5 kilogram (kg); 10.21kg pil erimin 5; 8.6kg serbuk MDMA; 2.6kg pil/serbuk ekstasi; 1.43kg ganja; 43.2kg serbuk kimia; 47 gram heroin; 110 katrij cecair vape; 67 botol cecair vape; peralatan memproses dadah dan sepucuk pistol serta 61 butir peluru hidup dengan nilai rampasan dadah RM2.95 juta manakala sitaan harta RM7,000.
“Manakala bagi sindiket 04 pula, seramai lapan lelaki berusia 32 hingga 49 tahun ditahan membabitkan rampasan dadah 1.63kg heroin dan 2.3kg syabu bernilai RM186,000 serta menyita tiga kereta, tujuh motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan sitaan harta RM192,520.
“Dalam masa sama, tindakan operasi dijalankan di empat daerah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena menahan pengedar dadah terdiri 39 lelaki, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita berusia 20 hingga 58 tahun serta merampas 86.52 gram heroin, 695 gram ketamin, 26.69 gram syabu dan 5.95 gram pil/serbuk yaba dengan nilai rampasan RM40,000,” katanya.
Beliau berkata, JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Pulau Pinang juga membuat serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menahan seorang lelaki berketurunan Siam berusia 37 tahun dan merampas 16.22kg MDMA; 235 gram ketamin; 831 biji pil ekstasi; 180 biji pil erimin 5; 11.24 gram ganja dan tujuh katrij cecair vape membabitkan nilai rampasan RM2.8 juta manakala sitaan harta membabitkan barang kemas bersama wang tunai adalah RM8,500.
“Rampasan dadah ini boleh digunakan seramai 1.6 juta penagih dadah malah ujian saringan air kencing mendapati 50 individu positif dadah methamphetamine, amphetamine, ketamin, morfin dan benzo.
“Semakan rekod lampau mendapati seramai 47 individu mempunyai pelbagai rekod jenayah membabitkan kes dadah, senjata api, bunuh, samun, mendatangkan kecederaan, perjudian, Seksyen 19(A)(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959, Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan lain-lain,” katanya.
Katanya, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan rangkaian ahli sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan manakala beberapa individu yang dikenal pasti akan diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan iaitu Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 termasuk salah seorangnya adalah anggota polis,” katanya.
Menurut Razarudin, operasi dan tindakan sebegini akan diteruskan kepada kontinjen dan daerah lain bagi menyekat bekalan dan mengurangkan permintaan terdapat dadah.
“Sebelum ini JSJN sudah melakukan operasi di Terengganu terutama daerah Paka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd