Sindiket ‘Jual Orang’ Diketuai Warga Nepal Kaut Untung RM100 Juta, Tumpas

Sindiket ‘Jual Orang’ Diketuai Warga Nepal Kaut Untung RM100 Juta, Tumpas


Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen yang beroperasi sejak 2019 dan mengaut keuntungan lebih RM100 juta.

Dalam operasi khas pada Isnin dan Selasa lalu, Jabatan Imigresen berjaya menahan dalang utama sindiket iaitu warganegara Nepal yang juga pemegang pas ekspatriat sah di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek utama yang ditahan dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah @ “MJ”, seorang lelaki warganegara Nepal berumur 43 tahun.

“Siasatan mendapati suspek pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya.

Sindiket berkenaan memproses kemasukan pekerja asing secara tidak sah dan menyediakan dokumen serta pas imigresen palsu untuk membolehkan mereka bekerja di negara ini.

Bagi setiap pekerja, sindiket mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata pihaknya telah melakukan risikan selama enam bulan dan menyerbu enam lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pelbagai dokumen imigresen yang diubah suai termasuk e-pass, pelekat keselamatan serta slip berkaitan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemalsuan turut dirampas.

Turut dirampas ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai RM3,950.

“Seramai sembilan individu berumur antara 26 hingga 61 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada warga Nepal, India, Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berstatus pemastautin tetap.

“Warga tempatan dan wanita Vietnam itu dipercayai bertindak sebagai pemilik serta pengarah syarikat yang terbabit dalam kegiatan sindiket berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, dalam operasi itu, Jabatan Imigresen turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperluas siasatan termasuk meneliti kemungkinan pembabitan rangkaian lain serta aliran kewangan sindiket.

“Kes disiasat mengikut undang-undang imigresen serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

KREDIT GAMBAR UTAMA: NSTP






Source link

OR

Scroll to Top