mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tawar perkhidmatan imigresen secara tidak sah kepada warga asing di negara ini seperti Pas Khas dengan bayaran RM2,000 ke RM2,500.
Itu modus operandi ejen haram didalangi empat warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan itu kepada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, dan Nepal yang tinggal lebih masa ataupun sudah tamat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan Operasi Khas bermula kelmarin hingga semalam di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula pada 9.02 malam membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun.
Katanya, semakan awal mendapati dua individu yang ditahan ini memiliki PLKS dalam sektor pembinaan, manakala dua lagi tinggal lebih masa.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis, pasukan operasi merampas 134 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 117 pasport Bangladesh, Nepal (4), Myanmar (6), Indonesia (6), India (1), selain merampas empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan wang tunai RM69,380.
“Turut disita dua kenderaan Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen secara tidak sah kepada warga asing di negara ini seperti Pas Khas.
“Ejen ini mensasarkan pelanggan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, dan Nepal yang tinggal lebih masa ataupun tamat PLKS. Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan mereka terus tinggal dan berada di negara ini.
“Ejen ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah. Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah di antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Katanya, ejen haram ini dipercayai menjalankan aktiviti selama setahun dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seorang perempuan warga Malaysia dan tiga lelaki warga Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd