Sindiket tawar pekerjaan tumpas, 12 warga China ditahan

Sindiket tawar pekerjaan tumpas, 12 warga China ditahan


IPOH: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pekerjaan dalam talian atau ‘job scam’ yang beroperasi di sebuah banglo dua tingkat di Pasir Putih di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan pada pukul 2 petang itu dijalankan oleh pasukan risikan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, dalam serbuan itu, seramai 12 ahli sindiket warga China termasuk dua wanita berusia 25 hingga 44 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati rumah banglo berkenaan dijadikan pusat panggilan yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari China.

“Kesemua ahli sindiket ini berperanan sebagai penyelia pusat panggilan di mana mereka turut bertindak mencari pelanggan untuk ditawarkan pekerjaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut ialah mangsa yang ditawarkan pekerjaan perlu melengkapkan tugas pembelian barang dalam talian bagi mendapatkan rebet tunai dalam mata wang yuan.

Katanya, mangsa dijanjikan keuntungan dalam bentuk rebet tunai bagi tugasan yang berjaya disempurnakan namun selepas pembayaran dibuat, rebet tunai yang dijanjikan gagal diperoleh.

“Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak awal bulan lalu. Dalam serbuan itu, beberapa barangan dirampas termasuk 10 unit komputer riba, empat buah router dan 20 unit telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM36,000,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Selasa depan untuk siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(B) Kanun Keseksaan.

“Semakan juga akan dibuat dengan Jabatan Imigresen berkenaan status pasport kesemua suspek yang ditangkap. Jika terdapat sebarang pelanggaran atau salah guna pas lawatan, tindakan akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top