mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank terdiri lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.
Ia susulan siasatan ke atas 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk melindungi warga asing, salah guna pas lawatan sosial dan kemuka dokumen mengandungi butir matan palsu.
Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri (Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Sitaan yang dilakukan hari ini termasuk wang tunai berjumlah RM393,150; mata wang Indonesia 18 juta Rupiah (RM4,050); 10 unit kereta mewah dan tiga unit motosikal dianggarkan bernilai kira RM1.8 juta; 14 keping emas (berat 1 gram setiap satu) dianggarkan bernilai kira-kira RM8,300; 80 unit pelbagai jenis barangan kemas seperti gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM118,500.
“Turut disita tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM42,200; satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000; dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000,” katanya hari ini.
Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak sembilan kertas siasatan sudah dibuka.
Katanya, SPRM turut menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam untuk membantu siasatan.
“Bagaimanapun beliau dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Rabu lalu melalui Op Layer (SPRM Putrajaya), Op Dalang (SPRM Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan) dan Op Genuine (Melaka), SPRM menahan seramai 38 individu untuk membantu siasatan, dan 33 daripadanya direman.
© New Straits Times Press (M) Bhd





