Singapura kelam-kabut sebaik sahaja bolos – Ogura

Singapura kelam-kabut sebaik sahaja bolos – Ogura


PENGENDALI skuad kebangsaan Singapura, Tsutomu Ogura meluahkan kekecewaan selepas pasukannya tewas mengejut 0-1 kepada Nepal dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Singapura.

Ogura menyifatkan persembahan pasukannya sebagai yang paling teruk sepanjang tempoh dia membimbing The Lions, malah lebih buruk berbanding kekalahan 0-7 kepada Korea Selatan sebelum ini.

“Saya sudah berada di sini selama setahun dua tiga bulan, dan ini adalah perlawanan paling buruk yang kami lalui, lebih teruk daripada kekalahan 0-7 kepada Korea Selatan.

“Pasukan langsung tidak bermain sebagai satu unit dan menjadi kelam-kabut sebaik sahaja bolos,” katanya.

Ogura turut mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut kerana pemilihan pemain serta strategi permainan adalah di bawah kawalannya.

“Apabila persembahan pasukan tidak bagus dan pemain tidak dapat menunjukkan konsep bola sepak kami, ia adalah tanggungjawab saya.

“Saya memilih mereka dan menentukan cara mereka bermain,” katanya.

Gol tunggal pemain sayap Nepal, Gillespye Jung Karki, menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, sekali gus mencipta sejarah hitam buat Singapura apabila tewas kepada pasukan di ranking ke-175 dunia.

Di hadapan 5,078 penyokong di Stadium Nasional, kekalahan ini merupakan yang pertama buat Singapura dalam empat pertemuan dengan negara Asia Selatan yang dikendalikan pengendali baharu, Matt Ross.

Sementara itu, Ogura memuji semangat juang pemain Nepal yang bermain bersungguh-sungguh seolah-olah perlawanan persahabatan itu adalah aksi kompetitif.

Beliau turut memohon maaf kepada penyokong The Lions dan berharap mereka terus memberikan sokongan moral kepada pasukan.



Source link

OR

Scroll to Top