Singapura: Seorang remaja Singapura berusia 17 tahun ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos, kurang sebulan sebelum dia merancang untuk melancarkan serangan semasa cuti sekolah September di republik itu.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan berkata pelajar yang radikal diri itu adalah penyokong tegar kumpulan Daesh itu, juga merancang pergi ke Syria, untuk terbabit dalam keganasan bersenjata.
Dia dikenakan Perintah Tahanan selama dua tahun pada September.
“Siasatan ISD setakat ini mendapati remaja itu bertindak sendirian dan tidak berjaya meradikalkan pengikut atau kontaknya.
“Keluarga dan rakan-rakannya tidak menyedari rancangan untuk melakukan serangan di Singapura atau terlibat dalam keganasan bersenjata di Syria,” menurut jabatan itu pada Jumaat.
ISD berkata remaja itu mula terdedah kepada ajaran pendakwah radikal asing ketika mencari pengetahuan agama secara dalam talian pada Ogos 2023.
Pendedahan kepada bahan pro-Daesh dalam talian menyebabkan dia terjerumus ke jalan radikalisasi, dan menyertai pelbagai kumpulan dalam talian yang memberikan kemas kini tentang aktiviti kumpulan itu.
Menjelang Januari 2024, dia menjadi penyokong tegar kumpulan itu dan membuat bai’ah (ikrar taat setia) pada Mei.
Terpengaruh dengan propaganda Daesh, remaja itu memutuskan untuk melancarkan serangan ke atas lelaki bukan Muslim di kawasan perumahan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) berhampiran Pusat Komuniti Tampines West.
ISD berkata dia memilih lokasi itu kerana mempunyai kadar lalu lintas pejalan kaki yang tinggi dan berdekatan dengan rumahnya.
Jabatan itu menambah bahawa remaja itu bertekad untuk terkorban dalam serangannya, sama ada di tangan pihak polis atau orang awam, sebagai cara untuk mencapai hasratnya menjadi syahid.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K. Shanmugam menyifatkan kes itu sebagai “amat hampir berlaku” dan menyatakan sangat bernasib baik kerana ISD berjaya menangkap remaja itu tepat pada masanya.
“Orang awam adalah sasaran mudah bagi penyerang seperti ini, dan kerana radikalisasi serta tahap hampir pelaksanaan rancangannya, kami memutuskan lebih selamat untuk menahannya,” katanya kepada media.
Transkrip kenyataan kepada media disediakan di laman web Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd