Single ‘Bila Kau Datang Menangis’ Didakwa Tiru Lagu ‘Beetlebum’ Kumpulan Blur, DUKES Beri Penjelasan

Single ‘Bila Kau Datang Menangis’ Didakwa Tiru Lagu ‘Beetlebum’ Kumpulan Blur, DUKES Beri Penjelasan


Kugiran indie alternatif DUKES yang dianggotai lima anak muda dari ibu negara, semakin menonjol dalam radar peminat muzik tempatan dengan identiti bunyi yang berani.

Berasal daripada sebuah band kampus yang gemar bereksperimen dengan elemen Britpop, kumpulan ini terus mengukuhkan tempat mereka dalam lanskap muzik Malaysia.

Terkini, DUKES melancarkan muzik video (MV) untuk single Bila Kau Datang Menangis, sebuah produksi yang mengetengahkan visual simbolik serta nuansa emosional.

Namun, karya itu turut mengundang perdebatan apabila sesetengah pendengar mendakwa lagu tersebut mempunyai persamaan dengan Beetlebum, salah satu lagu ikonik Blur, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam komuniti muzik indie.

Di platform media sosial, komen peminat banyak menyentuh tentang miripnya progression cord awal, alunan melodi serta keseluruhan suasana lagu yang dianggap seakan mengingatkan kepada karya Blur dari tahun 1997 itu.

Ada tampil mengkritik, ada juga mempertahankan DUKES.

DUKES bagaimanapun mengakui mereka memang dipengaruhi aliran British Pop Rock (Britpop), termasuklah band seperti Blur dan Oasis, menjadikan perbandingan terhadap muzik mereka sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Raiyyan, wakil DUKES, tampil menjelaskan keadaan tersebut.

“Sejak kebelakangan ini, ramai yang berkata lagu kami, ‘Bila Kau Datang Menangis’, kedengaran seperti lagu Blur yang berjudul Beetlebum. Kami akui, memang ada sedikit persamaan pada satu bahagian korus, terutamanya pada baris pertama. Tetapi masalahnya apabila orang mula mendakwa kami ‘mencuri’ atau ‘meniru’ lagu Beetlebum, itu sebenarnya tidak benar,” katanya.

Tambahnya lagi, proses penciptaan lagu itu tidak melibatkan sebarang rujukan kepada karya Blur berkenaan.

“Sejujurnya, ketika saya menulis lagu ini di Universiti Malaya pada Ogos 2024, saya langsung tidak pernah mendengar lagu Beetlebum. Tentulah saya kenal Blur, mereka kumpulan besar dan legenda, tetapi Beetlebum bukanlah lagu paling popular mereka.

@dukes.my It is not a big issue but it sort of discredits our work when we’ve put in so much effort towards the song. Anyways we hope you like the song 🙂 #indie #band #indieband #music #dukes ♬ original sound – DUKES

“Kalau orang kata kami tiru Song 2, itu lain cerita kerana lagu itu memang terkenal. Tidak wajar menjangka seseorang dari Kuala Lumpur mengetahui Beetlebum,” katanya lagi.

Raiyyan turut mempersoalkan mengapa isu itu menjadi kejutan dalam kalangan pendengar.

“Kalau anda dari Manchester, mungkin ya, kerana membesar dengan lagu itu. Jadi, sejujurnya saya tidak faham kenapa ramai terkejut atau mengharapkan kami tahu lagu itu. Kami tidak tahu dan jelas kami tidak mencurinya,” katanya.

Pelancaran MV Bila Kau Datang Menangis kini terus mencuri perhatian, sementara perbincangan tentang pengaruh dan inspirasi muzik kekal hangat dalam kalangan peminat genre indie tempatan.





Source link

OR

Scroll to Top