Sinner juara Wimbledon pertama dari Itali

Sinner juara Wimbledon pertama dari Itali


BINTANG tenis muda Itali, Jannik Sinner menjulang trofi Wimbledon sulungnya selepas menundukkan juara bertahan dua kali, Carlos Alcaraz 4-6, 6-4, 6-4, 6-4 dalam perlawanan akhir penuh mendebarkan, Isnin.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi Grand Slam keempat buat pemain berusia 23 tahun itu, malah menebus kekalahan dramatik kepada Alcaraz dalam final Roland Garros bulan lalu, sekali gus menoktahkan dominasi pemain Sepanyol itu di All England Club.

Lebih manis, kemenangan itu menjadikan Sinner pemain pertama Itali yang menjuarai gelaran perseorangan Wimbledon, pencapaian bersejarah buat negara Eropah Selatan itu.

“Saya ingin mulakan dengan ucapan kepada Carlos. Anda pemain yang hebat dan sukar untuk ditandingi. Tetapi kita mempunyai hubungan baik di dalam dan di luar gelanggang. Teruskan usaha dan semangat anda,” kata Sinner.

Dalam perlawanan akhir pertama Wimbledon yang menemukan dua pemain kelahiran era 2000-an, Sinner lebih dahulu memecahkan servis Alcaraz pada kedudukan 3-2, namun lawannya pantas bangkit dan menamatkan set pembukaan dengan pukulan balas luar biasa di Centre Court.

Sinner kembali bangkit dalam set kedua dengan merampas servis Alcaraz seawal permainan pertama.

Ketika kedudukan 3-1, permainan terhenti seketika apabila penutup botol minuman melayang ke gelanggang, namun insiden itu langsung tidak mengganggu fokus pemain nombor satu dunia itu yang kemudian menyempurnakan set tersebut.

Momentum Sinner berterusan dalam set ketiga apabila berjaya memecahkan servis Alcaraz sekali lagi untuk mendahului 5-4, sebelum menamatkan set dengan penuh yakin menerusi servis bertenaga.

Ketika bayang-bayang mula memanjang di Centre Court yang sebelum itu disinari cahaya matahari, Sinner mendahului 3-1 dalam set keempat.

Alcaraz dilihat mula hilang rentak, manakala Sinner kekal tenang dan konsisten hingga melengkapkan kemenangan bersejarah.

“Berada di sini merupakan satu keajaiban. Kami berbual sebelum perlawanan dan tidak menyangka akan berada di tahap ini. Semasa kecil dahulu, ini hanyalah impian yang kelihatan terlalu jauh. Kini saya sedang hidup dalam impian itu.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pasukan saya dan semua yang hadir hari ini. Anda memberi semangat luar biasa kepada saya. Kita terus berusaha menjadi pemain yang lebih baik, tetapi lebih penting, menjadi insan yang lebih baik,” kata Sinner.

Sementara itu, Alcaraz, 22, yang sebelum ini bangkit daripada tiga mata kejuaraan dalam final Roland Garros 35 hari lalu, gagal mengulangi kebangkitan itu dan terpaksa akur dengan kegagalan meraih kejuaraan Wimbledon ketiga berturut-turut.

“Saya tetap bangga dengan perjalanan saya musim ini. Pada awalnya saya bergelut sedikit, tetapi saya kembali menikmati permainan dan beraksi dengan penuh semangat.

“Ia satu perjalanan yang hebat dan saya sangat bersyukur,” kata Alcaraz.

Kemenangan ini juga mengakhiri lima kekalahan berturut-turut Sinner kepada Alcaraz, menjadikan rekod pertemuan mereka kini 8-5 masih memihak kepada pemain Sepanyol itu.

“Setiap kali kami bertemu, tahap permainan sangat tinggi. Saya rasa tidak ada pasangan pemain lain yang mampu bermain setaraf kami ketika bertemu antara satu sama lain.

“Persaingan ini semakin baik, kami bertarung dalam final Grand Slam, final kejohanan Masters dan kejohanan-kejohanan terbaik dunia. Ia pasti akan menjadi lebih hebat selepas ini,” kata Alcaraz.



Source link

OR

Scroll to Top