London: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner mempertahankan kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan juara Terbuka Perancis, Alexander Zverev dalam aksi final yang berlangsung hampir empat jam di Centre Court, hari ini.
Bintang Itali berusia 24 tahun itu bangkit selepas tewas set pertama sebelum mencatat kemenangan 6 7 (7/9), 7 6 (7/2), 6 3, 6 4 untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.
Kemenangan itu turut menghadiahkan gelaran Grand Slam kelima buat Sinner, selain menjadi kejuaraan Grand Slam pertamanya sejak menjulang trofi Wimbledon 12 bulan lalu.
Sinner mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan dengan menghasilkan 58 pukulan kemenangan berbanding hanya 25 kesilapan sendiri dalam pertarungan selama tiga jam 46 minit.
Beliau turut mencatat kemenangan ke-100 di kejohanan Grand Slam, sekali gus kini hanya ketinggalan dua gelaran di belakang pencabar utamanya, Carlos Alcaraz yang masih berehat akibat kecederaan.
Kejayaan itu juga menebus kekecewaan Sinner selepas tersingkir awal pada Terbuka Perancis bulan lalu apabila tewas kepada Juan Manuel Cerundolo meskipun mendahului dua set.
Di Wimbledon pula, cabaran paling getirnya hadir seawal pusingan pertama apabila dipaksa beraksi lima set sebelum menewaskan Miomir Kecmanovic.
Selepas itu, laluan Sinner semakin lancar apabila beliau membuktikan dirinya kini antara pemain paling sukar digugat di gelanggang rumput.
Kemenangan di London menyaksikan rekod musimnya meningkat kepada 44 kemenangan dan hanya tiga kekalahan, selain meraih gelaran keenam pada tahun ini.
Bagi Zverev, kekalahan itu nyata mengecewakan selepas hadir ke Wimbledon dengan keyakinan tinggi susulan muncul juara Grand Slam pertama di Terbuka Perancis.
Pemain Jerman itu berjaya memenangi set pertama menerusi tie break, namun gagal mengekalkan momentum apabila Sinner menguasai baki perlawanan.
Malah, Zverev turut berdepan detik cemas apabila tergelincir dan memegang lutut pada set ketiga sebelum Sinner segera menghampirinya untuk memastikan keadaannya baik.
Insiden itu mendapat tepukan gemuruh penonton yang memuji semangat kesukanan dipamerkan pemain Itali berkenaan.
Sinner akhirnya memperoleh break penting pada set ketiga dan sekali lagi pada set keempat sebelum menamatkan perlawanan dengan satu ace serta pukulan forehand kemenangan pada mata kejuaraan pertama.
Zverev yang mengimpikan menjadi pemain Jerman pertama menjuarai Wimbledon sejak Michael Stich pada 1991 terpaksa menangguhkan impian itu, namun tetap akan naik ke tangga kedua dunia menggantikan Alcaraz dalam ranking ATP yang dikemas kini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






