Sinner sedia pertahan gelaran

Sinner sedia pertahan gelaran


Cincinnati: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner berkata dia membuat keputusan tepat apabila memilih untuk berehat panjang selepas kejayaan di Wimbledon dan kini pemain Itali yang kembali bertenaga itu bersedia untuk beraksi semula di Terbuka Cincinnati bagi mempertahankan gelarannya.

Pemain berusia 23 tahun itu tewas pada final Roland Garros yang panjang menentang Carlos Alcaraz, Jun lalu.

Namun Sinner berjaya membalas dendam ke atas pemain Sepanyol terbabit di All England Club bulan lalu untuk merangkul gelaran Grand Slam keempatnya secara keseluruhan dan yang kedua musim ini.

Sinner memilih untuk mengutamakan kesihatan fizikal dan mental selepas kemenangan tersebut, dan akan kembali beraksi selepas hampir sebulan berehat apabila turun ke gelanggang hujung minggu ini di Cincinnati, setelah menerima bye pada pusingan pertama.

“Tubuh dan minda perlu pulih dan memahami apa yang telah berlaku,” kata Sinner kepada wartawan di Ohio, semalam.

“Saya sangat gembira kerana mengambil sedikit masa untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga, rakan-rakan, dan orang penting di sekeliling saya. Dulu saya pernah buat kesilapan, kadang-kadang kembali bermain terlalu awal.

“Saya berbincang dengan seluruh pasukan, cuba memahami apa yang terbaik. Bila menang gelaran besar, ia detik sangat istimewa tetapi selepas itu, anda perlu melangkah ke hadapan.”

Sinner dilihat memakai lengan pelindung pada siku kanan semasa menjalani sesi latihan bersama Christopher Eubanks semalam sekali gus menimbulkan kebimbangan dia masih mengalami kesan kecederaan dialaminya ketika di Wimbledon.

Namun, pemain Itali itu menjelaskan dia hanya memakainya kerana ia memberikan lebih kestabilan.

Kejohanan di Cincinnati ini merupakan acara pemanas badan menjelang Terbuka AS yang akan berlangsung dari 23 Ogos hingga 7 September.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top