KUALA LUMPUR: OPPO secara rasmi melancarkan Siri Reno15 buat pasaran tempatan yang merangkumi Reno15 Pro 5G, Reno15 5G dan Reno15 F 5G, sekali gus mengukuhkan penawaran peranti pintar berteraskan kreativiti serta penghasilan kandungan digital.
Siri terbaharu ini direka sebagai rakan kreatif serba boleh dengan penekanan terhadap keupayaan kamera swafoto, rakaman video berkualiti tinggi serta ciri pintar yang memudahkan proses penciptaan kandungan daripada peringkat rakaman hingga suntingan.
Reka bentuk premium, tahan lasak
Siri Reno15 mengekalkan identiti reka bentuk ikonik OPPO dengan inspirasi keindahan aurora yang memberikan kemasan berkilau dan tampak eksklusif.
Bahagian belakang peranti dilengkapi modul kamera bercincin bercahaya pada binaan kaca arca sekeping, sekali gus menampilkan rekaan yang moden dan kemas.
Reno15 Pro 5G hadir dengan paparan bersaiz 6.32 inci yang sesuai untuk penggunaan sebelah tangan, manakala bingkai aluminium gred aeroangkasa meningkatkan ketahanan binaan peranti.
Sementara itu, Reno15 5G dan Reno15 F 5G menawarkan skrin bersaiz lebih besar dengan kadar segar semula tinggi bagi memastikan pengalaman visual yang lancar dan selesa.
Bagi menyokong penggunaan harian dalam pelbagai situasi, siri ini turut dilengkapi pensijilan rintangan air dan habuk, selain teknologi sentuhan percikan yang memastikan skrin kekal responsif walaupun digunakan dengan tangan basah.
Kamera swafoto jadi fokus utama
Keupayaan pengimejan menjadi tarikan utama Siri Reno15 apabila OPPO memperkenalkan kamera swafoto ultra lebar 50 megapiksel dengan sudut pandangan luas.
Ciri ini membolehkan pengguna merakam gambar berkumpulan atau latar pemandangan dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung kepada sudut yang sempit.
Bagi penghasilan potret, Reno15 Pro 5G dan Reno15 5G dilengkapi kamera potret telefoto 50 megapiksel yang mampu menghasilkan kesan kabur latar lebih semula jadi.
Reno15 Pro 5G turut menawarkan kamera utama 200 megapiksel bagi perincian imej yang tinggi sekali gus sesuai untuk suntingan dan pemotongan imej tanpa menjejaskan kualiti asal.
Sokongan sistem pencahayaan pintar serta pemprosesan imej bersepadu membantu menghasilkan tona kulit yang lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan cahaya.
Rakaman, suntingan lebih mudah
Siri Reno15 turut menawarkan keupayaan rakaman video yang stabil dengan julat dinamik lebih luas, sesuai untuk pencipta kandungan yang sering merakam dalam pergerakan.
Rakaman menggunakan kamera hadapan dan belakang secara serentak membolehkan reaksi pengguna serta persekitaran dirakam dalam satu paparan yang menyeluruh.
Selain itu, fungsi suntingan terbina dalam memudahkan pengguna menghasilkan video pendek dengan lebih pantas tanpa memerlukan aplikasi tambahan sekali gus menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan aliran kerja.
Prestasi stabil pengalaman pintar
Dari segi prestasi, Siri Reno15 dikuasakan sistem operasi terkini OPPO yang dioptimumkan untuk kelancaran jangka panjang.
Enjin pengurusan prestasi pintar membantu mengekalkan pengalaman penggunaan yang stabil, termasuk untuk permainan mudah alih dan tugasan harian.
Ketersambungan rangkaian turut dipertingkat bagi memastikan pengalaman penstriman, permainan dan komunikasi kekal lancar.
Pada masa sama, ciri kecerdasan buatan menyokong pengurusan idea, rakaman suara serta produktiviti harian dengan penekanan terhadap keselamatan dan perlindungan data pengguna.

Siri OPPO Reno15 kini boleh didapati di semua saluran rasmi dan pengedar sah OPPO Malaysia dengan harga bermula RM1,499 mengikut model dan varian.
Pelbagai tawaran pelancaran turut disediakan bagi pembeli terawal termasuk hadiah istimewa dan jaminan lanjutan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Siri OPPO Reno15, sila klik pautan bagi setiap model OPPO Reno15 Pro, OPPO Reno15 dan OPPO Reno15 F.
© New Straits Times Press (M) Bhd






