puterialia@hmetro.com.my
Memegang watak paling kontroversi sebagai pemimpin gila kuasa dan kaki perempuan, pelakon versatil, Datuk Rosyam Nor bakal menggegarkan emosi penonton dalam drama terbaharu berjudul Jiwa Seorang Pentaksub.
Naskhah 25 episod arahan Nur Ain Sharif terbitan Suhan Movies ini mengisi slot Samarinda TV3 bermula semalam.
Drama bersiri ini membawa penonton menyelami sisi gelap seorang figura berpengaruh yang dipuja rakyat, namun sebenarnya sanggup memusnahkan segala-galanya demi obsesi peribadi.
“Ada manusia yang terlalu sempurna di mata ramai kerana mereka tidak pernah membuka topeng sebenar,” itu antara gambaran awal bagi naskhah penuh konflik ini.
Drama ini menampilkan Rosyam sebagai Firzan, seorang lelaki yang membina empayar politiknya daripada bawah sebelum menjadi figura yang disanjung masyarakat.
Perjalanan hidup Firzan bermula sebagai pemandu peribadi kepada ahli politik berpengaruh dan dia mula mempelajari bahawa kuasa mampu mengubah segalanya.
Dari situ, Firzan mula menggunakan perkahwinan sebagai jalan untuk membuka ruang dalam dunia politik sebelum berjaya membina pengaruh dan empayarnya sendiri.
Bagaimanapun, dalam dunia Firzan, kuasa mengatasi segala-galanya termasuk keluarganya sendiri.
Konflik utama tercetus dengan kehadiran Diana lakonan Sophia Albarakbah, seorang pempengaruh media sosial terkenal yang juga teman wanita kepada anak Firzan iaitu Aiman yang dilakonkan Ady Mohammad.
Keadaan menjadi tegang apabila Firzan mula memanipulasi keadaan demi memiliki wanita terbabit untuk dirinya sendiri.
Dalam masa sama, seorang lagi anaknya iaitu Aidil lakonan Shahz Jaszle belum mampu menerima Firzan semula dalam hidupnya selepas sekian lama menyimpan perasaan benci terhadap bapanya itu.
Sementara itu, watak Suri lakonan Rita Rudaini menjadi individu paling setia di sisi Firzan dan menyimpan terlalu banyak rahsia gelap mengenai lelaki terbabit.
Namun, apabila topeng mula retak dan semakin banyak rahsia terbongkar, persoalan besar timbul mengenai siapa sebenar yang memanipulasi siapa.
Mengulas mengenai watak Firzan, Rosyam mendedahkan karakter yang dibawanya adalah seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan kepuasan dirinya sendiri.
“Firzan ini fikir dia sentiasa rasa betul. Dia tak nampak dirinya sebagai penjahat dan bijak bermain dengan persepsi supaya orang percayakannya.
“Saya pasti penonton akan geram dan menyampah dengan sikap Firzan yang tak pernah rasa cukup dengan apa yang dia ada,” katanya.
Drama Jiwa Seorang Pentaksub ini boleh ditonton sejak semalam dari Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam di slot Samarinda TV3.
Bagi yang terlepas siaran di televisyen, penonton boleh menyaksikan episod baharu secara eksklusif di iQIYI yang ditayangkan satu jam selepas siaran di TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd





