farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Penat lelah Sissy Imann bersengkang mata menelaah pelajaran selama empat tahun membuahkan hasil apabila akhirnya dia menggenggam ijazah sarjana bidang muzik dari Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Ijazah sarjana itu diterima Sissy daripada Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib pada Sidang 17 Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 di Shah Alam, hari ini.
Berkongsi kejayaan itu, Sissy atau nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil, 29, mengakui banyak pengorbanan dibuat demi mengejar impian menggenggam ijazah sarjana atau master.
“Saya banyak korbankan masa dan tenaga demi segulung ijazah sarjana ini. Sampai tidak cukup tidur. Saya juga banyak tolak tawaran berlakon kerana tidak boleh beri komitmen disebabkan kekangan masa.
“Mujur ada ibu yang membantu susun jadual supaya dapat imbang antara pelajaran dan karier seni seperti nyanyian dan pengacaraan,” katanya.
Menyimpan cita-cita menjadi pensyarah, Sissy yang popular dengan lagu Mungkin Kamu sedang mengintai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
“Esok saya dan keluarga akan berlepas ke London, United Kingdom (UK). Selain bercuti dan melawat adik yang belajar di sana, saya ingin meninjau universiti sesuai untuk sambung PhD.
“Jika ada rezeki, peluang dan kelapangan, saya hendak sambung belajar dan jadi pensyarah,” katanya.
Ditanya keperluan untuk anak seni menuntut ilmu, Sissy percaya dengan cara itu, mereka boleh mempersiapkan diri menjadi artis berkualiti.
“Bukan sahaja menambah pengetahuan dan mempertajam kemahiran yang ada. Sebaliknya, dengan menuntut ilmu, artis dapat membentuk sahsiah diri dan lebih berdisiplin.
“Semua ini dianggap elemen penting yang perlu ada dalam diri artis,” katanya.
Sissy yang pernah menjadi guru muzik adalah graduan jurusan pendidikan muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras.
© New Straits Times Press (M) Bhd