Sistem dua harga RON95 idea kurang bijak – Ka Siong

Sistem dua harga RON95 idea kurang bijak – Ka Siong


KUALA LUMPUR – Cadangan melaksanakan sistem dua harga petrol RON95 supaya 15 peratus golongan maha kaya (T15) membayar harga bahan bakar itu mengikut harga pasaran  dianggap sebagai idea kurang sempurna dan kurang bijak.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan tersebut akan merumitkan pengendali, pekerja stesen petrol dan pengguna ketika mengisi minyak selain berisiko menambah kos proses menjual petrol.

“Kenapa pula 85 peratus rakyat dan stesen petrol dirumitkan hanya sebab mahu kenakan 15 peratus?,” soalnya.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengenakan levi petrol kepada golongan berkenaan ketika memperbaharui cukai jalan.

Ka Siong berkata, kerajaan juga boleh mengenakan levi petrol ke atas kenderaan petrol baharu yang bernilai RM300,000 ke atas.

Katanya, dengan cara itu kerajaan tidak perlu melaksanakan sistem dua harga di stesen minyak namun dalam masa sama masih mengutip wang sebagai kos subsidi bagi golongan T15.

“Katakan setiap kenderaan golongan T15 akan isi minyak 50 liter seminggu atau sekitar 2,600 litter setahun, manakala kos subsidi ialah RM1 satu liter, kerajaan boleh pula kenakan levi petrol RM2,600 setahun ke atas lesen kenderaan golongan T15.

“Sekiranya mereka benar-benar dari golongan T15 atau mampu membeli kereta melebihi RM300,000 saya rasa ianya bukan masalah untuk mereka membayar RM2,600 setahun bagi setiap kenderaan milik mereka,” jelasnya.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan bersedia berdepan dengan reaksi awam berhubung komitmen untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus T15.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Mengulas lanjut Wee sekali lagi mempersoalkan gelaran T15 yang diwujudkan oleh kerajaan.

Katanya, ia seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang bekerja dan dimasukkan dalam kategori tersebut.

“Saya pun tak faham dari mana datangnya T15 ni? Kerajaan kena konsisten. Tak boleh sesuka hati, sekejap T15, T18, T20, maha kaya lah. Saya menganggap pasangan guru gred DG48 ke atas dikategorikan sebagai T15 dan dianggap sebagai maha kaya adalah adil bagi pasangan suami isteri yang rajin bekerja.

“Ini seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang rajin bekerja setiap hari untuk memperolehi RM13,295 sebulan. Mana mungkin gaya hidup pasangan guru ini setaraf dengan jutawan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi pendidikan dan kesihatan terhadap golongan itu.

“Adalah tidak adil untuk menghukum T15 ini dengan penarikan subsidi ini. Kelompok ini adalah penyumbang kepada ekonomi
negara. Janganlah menghukum mereka seperti ini.

“Penyediaan akses pendidikan dan kesihatan yang baik adalah tanggungjawab utama kerajaan tanpa perlu menganaktirikan mana-mana kelompok di negara ini. Sepatutnya asas pendidikan dan kesihatan patut disediakan secara percuma kepada semua
rakyat Malaysia,” ujar bekas Menteri Pengangkutan itu. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top