KUALA LUMPUR: Di sebalik perkembangan pesat pusat data, kilang berteknologi tinggi dan fasiliti moden di Malaysia, satu aspek penting yang sebelum ini jarang diberi perhatian kini mula menjadi fokus industri iaitu sistem lantai industri.
Jika dahulu ia dianggap sekadar kemasan bangunan, sistem lantai kini menjadi komponen penting bagi memastikan operasi fasiliti berjalan lancar, selamat dan efisien dari segi kos jangka panjang.
Keperluan ini menjadi semakin penting ketika Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau bagi sektor ekonomi digital, pembuatan bernilai tinggi dan industri berteknologi maju.
Sehubungan itu, Nippon Paint Malaysia bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menganjurkan bengkel industri yang menghimpunkan kontraktor serta pemain industri pembinaan.
Bengkel tersebut bertujuan membincangkan tahap kesiapsiagaan sistem lantai industri negara dalam memenuhi keperluan industri generasi baharu.
Bengkel yang berlangsung di Pusat R&D Nippon Paint di Shah Alam itu memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai cabaran sebenar di tapak projek, pemilihan sistem lantai yang sesuai serta teknik aplikasi mengikut keperluan fasiliti moden.
Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck berkata, sistem lantai industri tidak lagi boleh dipandang ringan kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kestabilan operasi dan kos penyelenggaraan sesebuah fasiliti.
Katanya, Malaysia kini sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sektor yang memerlukan infrastruktur lebih kompleks dan berprestasi tinggi.
“Apabila sistem lantai yang digunakan tidak direka mengikut keperluan sebenar, ia boleh menyebabkan gangguan operasi, risiko keselamatan dan kegagalan sistem lebih awal,” katanya.
Jelasnya, dalam persekitaran seperti pusat data, fasiliti pemprosesan makanan dan kilang pembuatan berketepatan tinggi, sistem lantai perlu memenuhi pelbagai spesifikasi teknikal termasuk kawalan elektrostatik (ESD), ketahanan terhadap bahan kimia, kemampuan menampung beban berat serta pematuhan standard kebersihan yang ketat.
Walau bagaimanapun, bengkel itu mendedahkan masih wujud jurang antara keperluan industri moden dengan tahap kefahaman serta amalan pelaksanaan di tapak binaan.
Para kontraktor yang hadir mengakui cabaran utama kini bukan lagi akses kepada bahan, sebaliknya terletak pada mutu kerja dan pengetahuan teknikal yang konsisten.
Seorang peserta berkata, masih ramai kontraktor belum benar-benar memahami kepentingan sistem lantai industri dan kesilapan aplikasi boleh menyebabkan kegagalan walaupun menggunakan sistem terbaik.
“Bengkel seperti ini membantu meningkatkan keyakinan dan kefahaman kontraktor supaya aplikasi dilakukan dengan lebih tepat serta mengikut keperluan sebenar projek,” katanya.
Selain itu, komunikasi awal antara semua pihak turut ditekankan bagi memastikan sistem lantai yang dipilih mampu menampung perubahan operasi pada masa hadapan.
Sebagai contoh, dalam industri pusat data, gangguan elektrostatik (ESD) yang kecil sekalipun mampu menjejaskan peralatan sensitif, manakala sistem lantai yang salah di fasiliti makanan boleh mengundang risiko pencemaran.

Sepanjang bengkel, peserta turut berpeluang melihat demonstrasi secara langsung aplikasi sistem lantai industri berprestasi tinggi dan pendekatan terbaik mengikut keperluan persekitaran moden.
Tay berkata, usaha memperkukuh pengetahuan industri penting bagi memastikan Malaysia terus mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi pada masa depan.
“Jika Malaysia mahu terus berkembang sebagai destinasi pelaburan utama, setiap komponen infrastruktur termasuk sistem lantai industri perlu dibina mengikut standard global,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara pihak industri dan CIDB mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan mutu pembinaan negara serta mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Katanya, langkah itu juga penting bagi memastikan infrastruktur tempatan lebih bersedia menyokong perkembangan ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi, sekali gus memenuhi standard pembangunan masa depan.
Maklumat lanjut mengenai Nippon Paint dan Total Coating & Construction Solutions (TCCS) boleh didapati menerusi laman web rasmi Nippon Paint Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






