Sistem pembayaran tanpa tunai KTMB bermula tahun depan

Sistem pembayaran tanpa tunai KTMB bermula tahun depan


KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melaksanakan sistem pembayaran tanpa tunai sepenuhnya di seluruh stesen mulai 1 Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, sistem pembelian tiket itu adalah bagi kawasan Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan membentuk masyarakat lebih cekap dan berdaya saing selaras dengan matlamat kerajaan ke arah pendigitalan.

“Langkah itu juga bertujuan menyokong usaha kepimpinan negara untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital berdaya saing, termasuk transformasi kepada masyarakat tanpa tunai atau cashless society.

“Sehubungan itu, KTMB hingga akhir tahun dalam fasa peralihan bagi memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun depan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, kini KTMB melalui fasa sistem berkenaan sehingga hujung tahun ini.

“Diharapkan dengan pelbagai usaha yang sudah dan sedang dijalankan, kumpulan sasar ini akan menjadi mahir dalam penggunaan pembayaran tanpa tunai,” katanya lagi.

Jelas beliau, sebanyak 500 mata railpoints percuma diberikan untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal sebagai galakan kepada peralihan sistem berkenaan.

Tmanakala KTM Komuter bakal mengedarkan 1,000 kad Komuter Link secara percuma dalam menguar-uarkan inisiatif peralihan mod pembayaran.

Stesen KTMB terutama di Lembah Klang dan Utara kini dilengkapi mesin kios tiket bagi pembelian tiket komuter dan ETS.

Stesen utama di Pantai Timur juga sudah dilengkapi dengan mesin kios untuk membuat pembelian tiket Ekspres Rakyat Timuran dan Shuttle Timuran.

Bagi stesen di sektor Selatan selain dari Stesen Johor Bahru Sentral dan Kempas Baru, mesin kios hanya akan beroperasi selepas Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru siap sepenuhnya pada pertengahan 2025.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh membuat pembelian tiket melalui medium sedia ada seperti KITS atau laman sesawang www.ktmb.com.my. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top