Sistem pendidikan PAS bawa anak-anak kenal Allah

Sistem pendidikan PAS bawa anak-anak kenal Allah


– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan Islam menjadi dasar, institusi pendidikan PAS merujuk kepada sistem pendidikan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

– Advertisement –

Setiausaha Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, pendidikan seharusnya bermula dengan dakwah dan tarbiyah untuk mendidik anak bangsa mengenal dan meletakkan Allah SWT sebagai paling utama dalam kehidupan.

Beliau yang juga ADUN Semenyih menjelaskan, pendidikan PAS adalah mendidik mereka agar dekat dengan Allah SWT dan dekat dengan Islam.

“Terdapat 3 tugas penting yang perlu disedari oleh setiap pendidik. Pertama, ingatkan diri, pendidik adalah seorang pendakwah. Ambil semangat ‘iqra’ yang menyeru anak-anak agar benar-benar mengenal Allah SWT.

“Kedua, seorang guru perlu bersifat murabbi. Sifat seorang murabbi, tidak hanya mengajar, tetapi turut memastikan adakah anak didikannya faham dan mengamalkan apa yang telah dipelajari.

“Setiap didikan perlu ada elemen ‘follow up’. Menyoroti sirah 13 tahun pertama Nabi Muhammad SAW, Baginda betul-betul mentarbiyah Sahabat RA sehingga kukuh ikatan keimanan mereka kepada Allah,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Tambah Nushi lagi, pendidik juga merupakan orang yang mengajar ilmu kepada pelajarnya dan ilmu tersebut mesti disebar luaskan agar manfaat ilmu itu tersebar kepada seluruh masyarakat.

Walaupun Lajnah Pendidikan lebih berperanan dalam pendidikan anak-anak berbentuk ilmu pengetahuan, namun katanya, tarbiyah juga mesti berperanan dalam pembinaan insan, sahsiah anak-anak di luar waktu pembelajaran.

“Usaha menanam jati diri sebagai muslim, kesedaran bernegara, tanggungjawab terhadap agama yang membimbing masyarakat mesti dipupuk dan dibentuk sedari usia anak-anak lagi.

“Acuan pendidikan yang diasuh sejak kecil hakikatnya mengambil ibrah dari peringatan Nabi SAW yang bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari: 1385).

“Semoga usaha PAS dalam pembentukan generasi yang tidak hanya bijak dalam pelajaran, bahkan memiliki akhlak yang mulia, ini sentiasa mendapat petunjuk bimbingan dari Allah SWT,” ujarnya. – *HARAKAHDAILY 24/11/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top