Geneva: Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Selasa mendapati serangan Israel ke atas dan berhampiran hospital di Gaza menyebabkan sistem penjagaan kesihatan di wilayah Palestin, hampir lumpuh sepenuhnya.
Laporan oleh pejabat hak asasi manusia PBB itu memaklumkan serangan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, dengan menyebut kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Corak serangan maut Israel ke atas dan berhampiran hospital di Gaza, serta pertempuran yang berkaitan, mendorong sistem penjagaan kesihatan ke ambang kelumpuhan sepenuhnya dengan kesan yang mengerikan terhadap akses rakyat Palestin kepada penjagaan kesihatan dan perubatan,” kata pejabat hak asasi manusia PBB dalam satu kenyataan.
Laporan setebal 23 halaman yang bertajuk “Serangan ke atas hospital semasa peningkatan permusuhan di Gaza”, meneliti tempoh dari 7 Oktober 2023 hingga 30 Jun 2024.
Ia melaporkan dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya 136 serangan berlaku ke atas 27 hospital dan 12 kemudahan perubatan lain.
Serangan itu menyebabkan korban yang signifikan dalam kalangan doktor, jururawat, petugas perubatan dan orang awam lain, serta menyebabkan kerosakan yang teruk, terutama infrastruktur awam.
Laporan itu menyatakan bahawa petugas perubatan dan hospital dilindungi secara khusus di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selagi mereka tidak melakukan atau digunakan untuk melakukan, tindakan yang merugikan pihak musuh di luar fungsi kemanusiaan.
Laporan itu mendapati dakwaan berulang oleh Israel bahawa hospital-hospital di Gaza digunakan secara tidak wajar bagi tujuan ketenteraan oleh kumpulan Palestin adalah “kabur.”
“Maklumat yang mencukupi setakat ini belum didedahkan secara terbuka untuk menyokong dakwaan ini, yang kekal kabur dan luas, dan dalam beberapa kes kelihatan bercanggah dengan maklumat yang tersedia secara terbuka,” kata laporan itu.
Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk berkata, perlindungan hospital semasa peperangan adalah perkara yang paling penting.
Beliau berkata, laporan itu “menggambarkan secara jelas kemusnahan sistem penjagaan kesihatan di Gaza, dan sejauh mana pembunuhan pesakit, kakitangan, dan orang awam lain dalam serangan itu menunjukkan pengabaian nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.”
© New Straits Times Press (M) Bhd