Siti Nordiana Tampil Muzik Irama Malaysia, Impian Selama 2 Tahun Tercapai – “Single ‘Ahai’ Memang Jiwa Saya”

Siti Nordiana Tampil Muzik Irama Malaysia, Impian Selama 2 Tahun Tercapai – “Single ‘Ahai’ Memang Jiwa Saya”

Siti Nordiana Tampil Muzik Irama Malaysia, Impian Selama 2 Tahun Tercapai – “Single ‘Ahai’ Memang Jiwa Saya”


Penyanyi popular Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, kembali mencuri perhatian peminat menerusi single terbaharunya berjudul ‘Ahai’.

Menurut Nana, karya Irama Malaysia moden hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh  ini adalah impiannya sejak dua tahun lalu untuk mengembalikan semula keindahan dan nostalgia Irama Malaysia ke dalam arus muzik semasa.

“Sudah lama sebenarnya saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia”.

“Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. Jadi selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.

Nana turut mendedahkan, proses pembikinan lagu tersebut telah bermula sejak awal tahun dan melalui beberapa kali rakaman sebelum dimuktamadkan.

“Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan.

“Ahai’ memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” jelasnya.

Irama Malaysia Diberi Nafas Baharu

Tambahnya,  Ahai bukan sekadar karya hiburan tetapi satu usaha untuk memartabatkan semula muzik Irama Malaysia agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi.

“Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini termasuk menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil. Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada 2003.

“Jadi bila peminat sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa ‘show’, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan yang lebih segar,” kongsinya.

Dari segi konsep dan melodi pula, Ahai tampil berbeza berbanding karya terdahulunya yang lebih menjurus kepada pop balada dan pop rock.

Namun, kali ini Nana tampil berani dengan elemen tradisional seperti gendang dan kompang yang digabung dengan susunan moden, menjadikannya lebih ásli’ dan mesra pendengar masa kini.

Lagu Nasihat Buat Pasangan Berumahtangga

Mengulas mesej di sebalik lagu, Nana menjelaskan single ini  membawa nasihat penuh makna buat pasangan suami isteri agar menjaga hubungan dan menghargai pasangan masing-masing.

Selain, mesej yang disampaikan dalam lirik Ahai cukup mendalam dan relevan dengan kehidupan sebenar.

“Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin.

“Jadi saya kena main dengan emosi, ada masa lembut, ada masa tegas tapi masih dalam nada gurau senda. Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan.

“Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga diri, niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan.

Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” ujarnya.

Menariknya, video muzik itu turut menampilkan Siti Nordiana FC, kumpulan peminat setia Nana, sebagai penampilan khas bagi menambah warna dalam visual karya tersebut.

Lagu ‘Ahai’ kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital mulai 7 November 2025, sementara muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.



Source link

OR

Scroll to Top