Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengemalakan zikir Bismillah 5 sebagai ikhtiar serta memohon perlindungan buat diri dan keluarganya daripada perkara tidak baik.
Memetik BH Online, Siti berkata amalan tersebut diajar oleh ibunya, Siti Salmah Bachik yang sudah diamalkan sejak hamil anak pertama, Siti Aafiyah tujuh tahun lalu.
BACA: Siti Nurhaliza, Aliff Syukri Penyumbang Zakat Tertinggi
“Kita semua tahu zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya. Saya belajar daripada emak sebab ketika itu, mengandung anak sulung. Lalu, saya teruskan hingga hari ini.
“Pada saya, ayat pelindung ini bukan sahaja untuk anak-anak kecil, tapi untuk kita. Malah, saya amalkan bacaan selawat dan doa pelindung seperti ‘tiga qul’ dan sebagainya.
“Bagaimanapun, apabila sudah memiliki cahaya mata, emak memang selalu berpesan untuk baca zikir tambahan seperti Bismillah 5 sebagai ikhtiar untuk mengelak daripada perkara tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Siti berkata ibunya sentiasa menasihati ahli keluarga yang terbabit dalam industri seni supaya berhati-hati dan mengamalkan zikir pelindung.
“Kadang-kadang kita tak tahu apa dibuat atau kita tersalah cakap. Jadi, emak selalu ingatkan, bukan mudah jadi anak seni,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai kejadian menimpa anak saudaranya, Amad, Siti menyifatkan apa yang berlaku sebagai asam garam anak seni serta perlu berwaspada selepas ini.
“Kisah itu pun sudah berlalu, saya pun tak mahu panjangkan lagi. Ini pengalaman, setiap orang ada pengalaman dan ini yang Amad lalui. Jadi, perlu berwaspada, itu sahaja,” katannya.
Sumber: BH Online





