Solat yang ditunaikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah sah walaupun hanya mengenakan pakaian labuh dan longgar yang menutup aurat, tanpa memakai telekung.
Menurut Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Kashim, telekung bukan syarat sah solat sebaliknya hanya budaya bukan rukun atau syarat sah solat.
“Ramai tanya saya adakah solat Siti ini sah? Jawapan saya, solat Siti sah. Beliau telah tutup aurat untuk solat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi mengenai hukum menutup dagu ketika solat, merujuk kepada Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘ dari mazhab Shafie.
“Wajah ialah antara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke bawah dagu (yang nampak leher), dan dari telinga ke telinga,” kongsinya.
Mohd Izhar Ariff menjelaskan maksud pernyataan ini, bahawa bahagian luar dagu termasuk dalam kategori muka, manakala bahagian bawah dagu yang menampakkan leher dianggap kawasan leher dan bukan muka.
Oleh itu secara umumnya, bahagian tersebut perlu ditutup semasa solat, walaupun terdapat khilaf di kalangan ulama berhubung isu ini.

Terdahulu, tular dua keping gambar Siti Nurhaliza atau mesra disapa sebagai TokTi di aplikasi Threads yang kelihatan sedang menunaikan solat berjemaah dipercayai ketika menghadiri satu majlis berbuka puasa.





