Siti Zalina menerima penghargaan Hall of Fame pada majlis Makan Malam Gala dan Hall of Fame sempena Kejohanan Boling Padang Dunia 2025 di sebuah hotel, malam Sabtu. Foto Bernama
BEKAS jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad sama sekali tidak menyangka menjadi wakil Malaysia dan Asia pertama tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025.
Siti Zalina berkata, beliau terharu sumbangannya dalam sukan tersebut selama lebih dua dekad sebelum bersara daripada mewakili Malaysia pada 2023 mendapat pengiktirafan World Bowls, badan yang memayungi sukan tersebut pada peringkat antarabangsa.
“Saya dapat tahu apabila selepas ramai yang personal message ucap tahniah sewaktu World Bowls umumkan di media sosial (bulan lepas).
“Saya tak puas hati dan semak laman web mereka. Saya tengok macam terdiam sekejap sebab ia diumumkan di laman sosial mereka sebelum maklumkan saya dahulu. Beberapa hari kemudian baru saya terima e-mel pengesahan dari mereka,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam gala dan dewan kemasyhuran World Bowls di sini, malam Sabtu.
Anugerah tersebut disampaikan Sultan Terengganu yang juga penaung diraja Bowls Malaysia, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden World Bowls, Brett O’Riley.
Siti Zalina diiktiraf World Bowls susulan kejayaan antara lain merangkul emas acara singles wanita pada dua edisi Sukan Komanwel berturut-turut pada Manchester 2002 dan Melbourne 2006, selain gangsa singles wanita pada Kejohanan Dunia 2008.
Walaupun bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan, anggota polis berusia 46 tahun itu berkata, beliau ketika ini masih aktif bermain untuk Polis Diraja Malaysia, melatih beberapa pasukan luar dan terlibat dengan badan bukan kerajaan menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf di ibu negara.
Selain Siti Zalina, World Bowls turut memberi anugerah tersebut kepada lebih 20 pemain dan legenda boling padang negara lain antaranya Ryan Bester (Kanada), Darren Burnett (Scotland), Lynsey Clarke (Australia), Jo Edwards (New Zealand) dan Robert Weale (Wales). – Bernama
Ringkasan AI
- Bekas jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad menjadi wakil Malaysia dan Asia pertama tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025
- Siti Zalina merasa terharu atas pengiktirafan yang diterimanya dari World Bowls atas sumbangannya dalam sukan boling padang lebih dua dekad
- Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada majlis makan malam gala World Bowls
- Selain Siti Zalina, lebih 20 pemain dan legenda boling padang dari negara lain turut diberi anugerah tersebut





