Situasi Timor Leste, Harimau Malaya tidak sama – AFC

Situasi Timor Leste, Harimau Malaya tidak sama – AFC


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menjelaskan keputusan penggantungan yang dikenakan terhadap Timor-Leste tidak boleh disamakan dengan situasi yang sedang dihadapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, kes berkenaan berbeza kerana kesalahan dilakukan oleh Timor-Leste hanya dikesan selepas kejohanan berakhir, justeru hukuman dikenakan bagi edisi pertandingan seterusnya.

Beliau berkata, isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain skuad Harimau Malaya pula berlaku dalam konteks serta tempoh pertandingan yang berbeza.

“Kes Timor-Leste berlaku selepas pertandingan berakhir. Apabila kesalahan itu ditemui, hukuman dikenakan untuk masa hadapan, sebab itu mereka dilarang beraksi dalam edisi kelayakan Piala Asia seterusnya.

“Situasi ini berbeza dengan kes yang berlaku ketika pertandingan sedang berlangsung. Oleh itu, kes melibatkan Malaysia dan Timor-Leste tidak boleh dibandingkan,” katanya pada sidang media diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Beliau berkata, peruntukan di bawah Artikel 25 Kod Disiplin AFC serta Artikel 56 dalam masa sama tidak memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Tatatertib AFC untuk menjatuhkan hukuman melebihi had yang ditetapkan.

AFC sebelum ini pernah menggantung Timor-Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Timor-Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen berkaitan kewarganegaraan pemain negara itu.

Menurut Windsor, Jawatankuasa Tatatertib AFC akan membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman berdasarkan peraturan sedia ada, namun pihak yang dikenakan tindakan masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan.

“Kita serahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk meneliti fakta kerana semua keputusan yang dibuat boleh dirayu. Selepas rayuan, kes berkenaan juga boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Justeru, keputusan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya. Mereka perlu membuat keputusan berdasarkan kuasa di bawah kod tatatertib. Keputusan hanya boleh dibuat dalam lingkungan kuasa yang diberikan, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata FAM dijangka melalui fasa peralihan kepimpinan baharu selepas Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025-2029 badan induk itu meletakkan jawatan pada Januari lepas.

Windsor berkata, kongres luar biasa FAM berkemungkinan diadakan sebelum Piala Dunia FIFA 2026 atau sekitar Jun, manakala kongres pemilihan dijangka berlangsung selepas kejohanan itu, sekitar Ogos atau selewat-lewatnya September. – Bernama

Ringkasan AI

  • KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menyatakan penggantungan Timor-Leste tidak sama dengan situasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
  • Kesalahan Timor-Leste dikesan selepas kejohanan berakhir, hukuman untuk masa hadapan
  • Kes pemalsuan dokumen Malaysia berlaku dalam konteks dan tempoh yang berbeza, tidak boleh dibandingkan dengan Timor-Leste
  • AFC tidak boleh menjatuhkan hukuman melebihi had yang ditetapkan oleh Kod Disiplin AFC
  • FAM dijangka melalui fasa peralihan kepimpinan, kongres luar biasa mungkin diadakan sebelum Piala Dunia FIFA 2026



Source link

OR

Scroll to Top