KUALA LUMPUR – Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Bulan April oleh The World Games sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlangnya merangkul juara sulung kejohanan London Classic dengan mengalahkan pemain terbaik dunia, bulan lepas.
Menurut hantaran di Facebook The World Games, pengiktirafan itu berdasarkan inspirasi daripada kerja kerasnya untuk mengatasi kesukaran demi mencapai kejayaan luar biasa selepas melalui situasi sukar dan mencabar.
“Sivasangari yang menduduki ranking ke-13 dunia memenangi kejohanan berprestij GillenMarkets London Squash Classic, menewaskan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini (Mesir) di suku akhir, ranking keempat Nele Gilis (Belgium) di separuh akhir dan pemain kedua dunia Hania El Hammamy (Mesir) di final.