Untuk print/online
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mensasarkan bintang skuasy negara, S Sivasangari mampu berada dalam kelompok empat terbaik dunia menjelang temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Ketika ini, pemain berusia 26 tahun itu berada di ranking keenam dunia mengikut senarai terbaharu dikeluarkan oleh Persatuan Skuasy Profesional (PSA), sekali gus meletakkannya di landasan tepat untuk mencapai sasaran berkenaan.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan perkembangan positif pemain kelahiran Kedah itu yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022.
Katanya, pelan jangka panjang sudah disusun rapi bagi memastikan prestasi Sivasangari berada pada tahap terbaik menjelang Olimpik nanti.
“Kami gembira dengan kemajuan yang ditunjukkannya dan akan terus memberikan sokongan penuh. Masih ada tahun 2026, 2027 dan 2028 sebelum Olimpik, jadi kami tidak mahu menekan dia untuk mencapai kemuncak terlalu awal.
“Perancangan latihan dan programnya dirangka sebaik mungkin supaya prestasinya memuncak tepat pada masa yang sesuai, iaitu di Olimpik Los Angeles 2028.
“Sasaran kami ialah menjelang akhir musim 2026, dia mampu menembusi lima terbaik dunia, dan apabila tiba Olimpik nanti, berada dalam kelompok empat terbaik dunia,” katanya.
Bulan lalu, Sivasangari mencatat peningkatan ke tangga keenam dunia selepas muncul naib juara Terbuka Silicon Valley, kejohanan bertaraf PSA Gold yang berlangsung di Redwood City, California.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain wanita paling konsisten dalam siri kejohanan profesional musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




