am@hmetro.com.my
Tawau: Dua wanita yang menyerang dan mencederakan seorang penjual kosmetik dalam talian menggunakan televisyen awal Januari lalu dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) selama empat jam sehari dalam tempoh 30 hari.
Hukuman itu diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas tertuduh, Kartika Ridwan, 31, dan kakaknya, Kasmila Ridwan, 39, masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua beradik itu dikenakan bon berjumlah RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa yang berusia 29 tahun, di sebuah rumah pangsa, Flat Fajar, dekat sini, kira-kira 6 petang pada 31 Disember lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
PKW dilaksanakan di bawah Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) yang memperuntukkan seseorang pesalah menjalani hukuman di luar penjara dapat mengatasi isu kepadatan banduan di fasiliti itu.
Pada 3 Januari lalu, Harian Metro melaporkan seorang penjual kosmetik yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami salah seorang tertuduh, cedera dipukul di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, wanita warga Indonesia itu turut diacu gunting di muka turut dihempuk berkali-kali dengan televisyen selain nyaris dilumur dengan cili di kemaluannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd