rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot dipercayai milik seorang Tan Sri yang dianggarkan bernilai RM12 juta, antara aset baharu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan membabitkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Difahamkan, sitaan berkenaan hasil serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan SPRM di enam kediaman milik pemegang konsesi itu yang terletak di ibu negara, hari ini.
Sumber berkata, dalam serbuan itu SPRM turut menemui kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang disyaki dibeli menggunakan wang sukuk.
“SPRM memanggil Tan Sri dan isterinya untuk dirakam percakapan hari ini namun beliau tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.
“Bagaimanapun, SPRM akan meneruskan siasatan bagi mengesan aset milik Tan Sri dan isterinya yang terdapat di dalam dan luar negara,” katanya.
Selain itu, sumber berkata, SPRM dijangka memanggil sekurang-kurangnya 30 hingga 50 orang saksi lagi untuk membantu siasatan kes itu.
Semalam, media melaporkan, SPRM menyita pelbagai aset termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta milik individu terbabit.
Dalam operasi itu, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menjelaskan kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Bulan lalu, media melaporkan empat individu termasuk seorang Datuk Seri ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an hingga 70-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion antara 2016 hingga 2017.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM membuka tiga kertas siasatan sebaik siasatan bermula pada 9 Mei lalu.
Beliau dilaporkan berkata, dalam siasatan itu wang tunai berjumlah RM1.9 juta, dua kereta mewah bernilai RM900,000 dan akaun bank bernilai RM34 juta disita SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd