SKMM mulakan Rundingan Awam draf Kod Tatalaku untuk perkhidmatan media sosial

SKMM mulakan Rundingan Awam draf Kod Tatalaku untuk perkhidmatan media sosial


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memulakan Rundingan Awam mengenai draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial (Penyedia Perkhidmatan).

Rundingan Awam ini susulan daripada pengenalan Kerangka Pelesenan untuk perkhidmatan pesanan Internet dan perkhidmatan media sosial yang diwartakan pada 1 Ogos 2024 lalu dan bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 depan.

Tujuan Rundingan Awam ini untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada Penyedia Perkhidmatan, orang awam, pemain industri, dan pihak berkepentingan yang relevan dan matlamat draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat untuk rakyat Malaysia, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan rentan yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.

Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang dicadangkan oleh SKMM menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh Penyedia Perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SKMM amat menggalakkan penyertaan daripada Penyedia Perkhidmatan, orang awam, dan semua pihak berkepentingan yang berminat dalam proses Rundingan Awam yang akan bermula dari 22 Oktober 2024 sehingga 5 November 2024.

Rundingan Awam ini merupakan peluang untuk semua pihak menyumbang kepada dasar-dasar yang akan membentuk masa depan persekitaran dalam talian di Malaysia, memastikan bahawa ruang dalam talian kekal selamat, terjamin, serta kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top