Harimau Muda beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B-23 di Phatum Thani, Thailand bulan depan. Foto Malaysia NT
NASIB skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara untuk disenaraikan dalam kategori A bagi Sukan SEA Thailand 2025 hanya akan diketahui selepas saingan Kelayakan Piala Asia B-23, September ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penilaian terhadap skuad Harimau Muda itu hanya akan dibuat berdasarkan prestasi mereka dalam kejohanan tersebut yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 9 September depan di Phatum Thani, Thailand.
“Untuk bola sepak, kita perlu tunggu (Kelayakan Piala Asia) pada September ini bagi pasukan lelaki sebelum kita boleh tentukan mereka layak atau tidak ke kategori A,” katanya.
Penyertaan dalam kategori A membolehkan pasukan atau atlet menerima tajaan penuh daripada pihak kerajaan, manakala bagi kategori B, kos perlu ditanggung sendiri oleh persatuan sukan masing-masing.
Namun, perbelanjaan itu akan dibayar semula sekiranya mereka berjaya membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Kali terakhir skuad bola sepak negara berada dalam kategori A adalah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffry Ngadirin berkata, peluang masih terbuka untuk skuad B-23 berada dalam kategori A, namun mereka perlu membuktikan kemampuan di pentas kelayakan itu nanti.
“Skuad bola sepak B-23 ada ruang (untuk disenaraikan dalam kategori A) jika mereka layak ke pusingan seterusnya Piala Asia AFC B-23 pada bulan September ini.
“Kalau mereka layak dan di kedudukan keempat terbaik Asia Tenggara, automatik layak kategori A.
“Bagi pasukan bola sepak wanita pula itu kena tanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Berdasarkan format kejohanan, hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir Piala Asia yang dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 hingga 25 Januari tahun depan.