Skuad B-23 perlu dirombak!

Skuad B-23 perlu dirombak!


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) perlu berani membuat rombakan pemain sekiranya ingin melihat pasukan negara memberi saingan dan melangkah lebih jauh di Sukan SEA Thailand 2025 nanti.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, skuad Harimau Muda yang ada ketika ini dilihat seperti gagal membentuk kesefahaman dalam padang sehingga ia membantutkan pasukan negara menampilkan aksi cemerlang.

Justeru, beliau berharap akan ada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan negara bagi menambah kekuatan agar jurulatih negara, Nafuzi Zain mempunyai lebih banyak pilihan.

“Saya menjangkakan ada beberapa pemain harus ditukar dan pemain baharu berbakat besar perlu diberi peluang.

“Pemain yang ada sekarang, kita banyak dengar timbul masalah. Bukan semua hadir latihan dan dari segi aksi di atas padang pun, ia belum meyakinkan. Jadi gabungan pemain baharu yang boleh menunjukkan keserasian sebagai pasukan amat ditagihkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengulas lanjut, Azlan berpendapat kelemahan skuad B-23 bukan terletak pada satu posisi sahaja, sebaliknya melibatkan keseluruhan pasukan dan itu juga menjadi punca utama mengapa mereka terkandas di Kelayakan Piala Asia B-23 baru-baru ini.

“Semua bahagian perlu diberi perhatian. Pertahanan dan serangan dua aspek asas yang penting dalam bola sepak. Pemain perlu benar-benar faham kepentingannya. Kalau kita lemah di dua bahagian ini, memang sukar untuk bersaing.

“Jadi dua benda ini perlu dipandang berat untuk memastikan peluang kita dalam pertandingan apa pun yang akan datang, akan sentiasa mampu memberi saingan sengit,” katanya.

Namun begitu, Azlan Johar mengharapkan skuad kendalian Nafuzi itu boleh beraksi lebih baik daripada dua kejohanan sebelum ini untuk memastikan pemain muda boleh bersaing dalam pasukan utama selepas itu.

“Bagi saya, kalau pasukan B-23 tidak berjaya meraih kejuaraan sekalipun, tidak mengapa. Yang lebih penting, kita dapat lahirkan pemain berbakat besar untuk diserap ke skuad kebangsaan utama.

“Kita kena fikir jangka panjang. Sukan SEA boleh dijadikan pentas ujian untuk membentuk kumpulan pemain yang lebih luas, supaya pasukan senior ada pilihan besar dan tidak bergantung kepada kelompok sama sahaja,” katanya.

Untuk makluman, selain gagal layak ke Piala Asia B-23 tahun hadapan, Harimau Muda juga menampilkan aksi longlai di Piala AFF B-23 dan menyebabkan mereka terpaksa pulang awal apabila gagal mara ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top