Sebahagian pemain B-23 ketika dipanggil pada perlawanan The Elite Games baru-baru ini. FOTO: MALAYSIA NT
SEGELINTIR penyokong bola sepak tempatan skeptikal terhadap kemampuan skuad Harimau Muda menjelang kempen Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) 2025 yang bakal berlangsung bulan depan di Indonesia.
Sikap ragu-ragu itu tercetus susulan barisan pemain negara yang hampir keseluruhannya terdiri daripada pemain tempatan serta hanya seorang pemain warisan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap persiapan dan pengalaman mereka berbanding pemain dari Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Kurangnya pendedahan di pentas antarabangsa serta prestasi tidak memberangsangkan dalam beberapa kejohanan terdahulu menyebabkan segelintir pihak menjangkakan skuad negara bakal berdepan laluan sukar dan berkemungkinan tersingkir awal dari kejohanan.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya tampil mempertahankan skuad muda negara dengan menyarankan agar peluang wajar diberikan kepada mereka untuk membuktikan kemampuan di pentas serantau itu.
“Kejohanan pun belum bermula, kita tidak boleh terus menilai kemampuan mereka. Siapa tahu, mungkin kejutan mampu dicipta walaupun ramai meragui keupayaan pemain tempatan kita.
“Inilah medan terbaik untuk mereka menyerlah. Paling penting adalah sokongan moral kepada pemain. Saya percaya skuad ini tidak akan balik awal seperti yang digambarkan segelintir peminat,” katanya kepada Sukan Sinar.
Rezal turut menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan barisan kejurulatihan skuad B-23 yang diketuai Nafuzi Zain dan percaya perancangan yang sedang dilaksanakan pengurusan Harimau Malaya mengambil kira keperluan untuk membina pasukan lebih mantap pada masa depan.
“Ini adalah perancangan jangka panjang. Kita harus faham ini kejohanan pertama buat Nafuzi bersama skuad B-23. Ia juga peluang untuk menilai prestasi pemain yang telah dipanggil.
“Justeru, kita harus lebih rasional dan memandang ke hadapan. Tiada jalan pintas untuk melahirkan pasukan yang benar-benar kompetitif,” ujarnya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 15 hingga 29 Julai ini.
Skuad Harimau Muda dijadual membuka tirai kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei (18 Julai) dan aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia (21 Julai).
Bagi edisi kali ini, Nafuzi meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir.